'Terima kasih kerana pulangkan susu'

Orang ramai berpusu-pusu mengambil susu dari lori terbalik yang tular di laman sosial.
Orang ramai berpusu-pusu mengambil susu dari lori terbalik yang tular di laman sosial.
A
A
A

BACHOK - Pemilik lori muatan susu yang terbalik di Cabang Tiga, Kampung Tawang, Bachok kelmarin berterima kasih kepada orang ramai yang memulangkan semula susu yang diambil ketika insiden itu berlaku.

Azizan Zainuddin, 57, berkata, sejak berita itu tular, ramai yang 'terambil' susu berkenaan tampil memulangkan kembali di rumahnya dan ada yang meletakkan kembali di lokasi kejadian.

"Malam tadi pun ada orang tinggalkan susu di lokasi lori terbalik dan polis menyimpannya untuk diberikan kepada saya.

"Walaupun masih banyak yang belum memulangkannya, sekurang-kurangnya kerugian tidak terlalu tinggi," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Azizan mengakui rayuannya meminta orang ramai memulangkan kembali susu yang diambil tanpa kebenaran menerusi laman sosial dan media cetak banyak membantu.

Hari ini katanya, pengumuman yang sama turut dibuat di masjid di Tawang ketika solat Jumaat yang meminta orang ramai memulangkan susu yang diambil.

"Lori berkenaan membawa muatan 24 pelet susu, setiap pelet mengandungi 50 kotak dan setiap kotak mengandungi 48 tin susu. Susu itu perlu dihantar ke stor di Pengkalan Chepa," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemilik lori terbalik minta pulangkan semula susu

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintenden Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, polis membuka siasatan kertas siasatan berhubung insiden tersebut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Katanya, memang jelas ramai yang terlibat mengambil susu di lokasi kejadian berdasarkan video berdurasi 34 saat yang tular di laman sosial.

"Siasatan mendapati pemandu treler tidak memberi kebenaran kepada sesiapapun untuk mengambil susu tersebut," katanya.

Dalam kejadian jam 4 petang kelmarin, anak Azizan, Mohd Baihaki, 25, yang memandu lori tersebut cedera di dahi apabila lori yang dipandu terbabas dan terbalik.

Selepas mangsa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan, orang ramai mengambil susu yang berterabur dari lori yang terbalik.