Anak murid mahu ahli politik henti polemik status Zakir Naik

 Firdaus Wong Wai Hung
Firdaus Wong Wai Hung
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli-ahli politik di negara ini tidak sepatutnya terus mempolemikkan status pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik, sebaliknya memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang lebih penting.

Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung berkata, ahli politik sepatutnya berfikir tentang cara membangunkan ekonomi negara dan mengelak daripada terus melakukan provokasi terhadap umat Islam dengan terus-menerus menyentuh isu sensitif.

"Daripada ahli-ahli politik ini membangkitkan isu Zakir Naik, lebih baik mereka dan berusaha supaya Alvin Tan dan Ali Jalil yang kini berada di luar negara supaya diekstradisi ke Malaysia dan didakwa di mahkamah atas apa yang mereka lakukan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: Status Zakir Naik buat Malaysia serba salah: Dr Mahathir

Terdahulu, pemimpin DAP, Lim Kit Siang dilapor menyokong saranan seorang peguam supaya Zakir Naik meninggalkan Malaysia secara sukarela.

Dengan memetik alasan peguam itu, Kit Siang berkata, Zakir Naik perlu meninggalkan negara ini kerana didakwa boleh memberi kesan kepada kestabilan negara.

Mengulas lanjut, Firdaus berkata, Zakir Naik bukan seorang penjenayah kerana pihak Interpol sudah tiga kali menafikan notis merah yang dipohon oleh pihak berkuasa India.

"Jadi memang tiada sebarang merit untuk menuduh Zakir Naik terlibat dalam sebarang bentuk jenayah keganasan," tegas beliau yang merupakan anak murid kepada pendakwah itu.

Artikel Berkaitan:

Pada 22 Julai lalu, Interpol dilaporkan berkata Zakir tidak tertakluk kepada notis merahnya selepas mendapati dakwaan yang diberi “menimbulkan persoalan mengenai pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan”.

Notis merah Interpol itu dipohon Direktorat Penguatkuasaan India (ED) dalam usahanya mengekstradisi Zakir yang kini berstatus penduduk tetap Malaysia.

Beliau berdepan tuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2002.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan status Zakir Naik pada masa kini sebagai rumit dan menyebabkan kerajaan berada dalam keadaan serba salah.

Memetik wawancara bersama media Turki TRT World, Dr Mahathir berkata, Malaysia sepatutnya tidak boleh menerima pendakwah yang menyampaikan pandangan ekstrem tentang agama atau hubungan kaum.

Bagaimanapun, sukar untuk menghantar Zakir Naik ke mana-mana negara kerana kebanyakannya menolak pendakwah tersebut.