KPDNHEP sita 3,226 tong LPG

Anggota penguat kuasa KPDNHEP memeriksa tong gas yang ditempatkan di sebuah gudang tidak berlesen di Pengkalan Chepa.
Anggota penguat kuasa KPDNHEP memeriksa tong gas yang ditempatkan di sebuah gudang tidak berlesen di Pengkalan Chepa.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan menyita 3,226 tong gas petroleum cecair (LGP) bernilai RM193,782 di sebuah gudang tidak berlesen di kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di Kota Bharu di sini hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Azanizam Affendi Juri berkata, pihaknya menyerbu sebuah gudang dan mendapati tong gas berisi petroleum cecair seberat 12kg, 14kg dan 50kg tersebut ditempatkan di gudang tidak berlesen itu.

“Siasatan dilakukan dipercayai pemegang lesen barang kawalan LPG tersebut memindahkan dan menjalankan perniagaan barang kawalan di gudang yang tidak dilesenkan sekali gus melanggar peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Susulan itu, kita menyita semua tong gas berjenama pelbagai jenis yang digunakan untuk memasak dan industri itu untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut memanggil pemilik berusia 50-an tersebut untuk rakaman percakapan bagi tujuan siasatan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 Akta yang sama.

“Mengikut akta itu, bagi individu yang melakukan kesalahan boleh didenda maksimum RM1,000,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun, manakala bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda sehingga RM 2,000,000,” katanya.

Azanizam berkata, KPDNHEP Kelantan sentiasa komited memantau dan menjalankan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas ke atas peniaga yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP.

Artikel Berkaitan:

"Aduan boleh disalurkan kepada Kementerian ini melalui talian 03-8000 8000 1Malaysia One Call Centre (1MOCC), talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik (PIGOS) 1-800-886-800 atau lapor di mana-mana pejabat KPDNHEP terdekat," katanya.

Serbuan membabitkan 25 anggota dan pegawai KPDNHEP dalam operasi selama 21 jam berakhir 5 pagi tadi itu dilakukan hasil risikan dan maklumat diperoleh.