Penunggang maut motosikal rempuh treler

Kemalangan di KM 01 Jalan Kuala Berang-Ajil(Lampu isyarat Ajil Jaya) di Ajil, Hulu Terengganu malam tadi meragut nyawa seorang penunggang motosikal. Gambar kecil: Muhammad Rashidi
Kemalangan di KM 01 Jalan Kuala Berang-Ajil(Lampu isyarat Ajil Jaya) di Ajil, Hulu Terengganu malam tadi meragut nyawa seorang penunggang motosikal. Gambar kecil: Muhammad Rashidi
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang pemuda maut setelah motosikal ditunggangnya merempuh sebuah treler di KM01 Jalan Kuala Berang-Ajil di Ajil, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam itu, mangsa, Muhammad Rashidi Mat Rashid, 23, dari Kampung Merbau Pulas, Jalan Dato Amar, Ajil meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian dipercayai berlaku setelah mangsa yang menunggang Honda RS 150 merempuh belakang treler yang bergerak.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang menghala ke Pekan Ajil dan apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai telah melanggar belakang treler dipandu Muhamad Risang Salam, 24.

"Treler berkenaan sedang meneruskan perjalanan apabila lampu isyarat bertukar hijau. Mangsa yang hilang kawalan terjatuh dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat, manakala pemandu lori beralamat di Jinjang Tambahan Utara, Kuala Lumpur tidak cedera.

"Kes disiasat mengikut Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: