Malaysia perlukan badan timbang tara, pendamai

Prof Dr Kamaruddin M Said (kiri) dan Dr Mohammad Shatar Sabran
Prof Dr Kamaruddin M Said (kiri) dan Dr Mohammad Shatar Sabran
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia perlu mempunyai satu badan timbang tara dan pendamai di peringkat nasional untuk menghakimi isu pertikaian yang tidak berkesudahan melibatkan api perselisihan sehingga boleh menggugat keharmonian negara.

Timbalan Presiden Majlis Profesor Negara, Prof Dr Kamaruddin M Said berkata, satu program besar untuk membina Perenggu Minda Malaysia perlu diadakan pihak kerajaan supaya rakyat dapat menghormati sistem nilai yang boleh mengikat perasaan cinta kepada negara.

Katanya, dalam meraikan kepelbagaian ras dan budaya, minda serta tingkah laku rakyat Malaysia perlu dilatih supaya menghormati sistem nilai masing-masing.

“Maka satu program besar untuk membina Perenggu Minda Malaysia (forming a Malaysian Mindset) perlu diadakan supaya sambil kita meraikan kepelbagaian ras dan budaya, minda dan tingkah laku, rakyat Malaysia perlu dilatih supaya menghormati sistem nilai sepunya yang boleh mengikat perasaan cinta rakyat kepada negara.

“Selain itu, prinsip 'keadilan semula jadi' yang saksama juga perlu dijunjung dan dihormati untuk kebajikan seluruh rakyat,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada istiadat pertabalan Seri Paduka semalam agar semua pihak jangan sesekali mencetuskan api perselisihan dengan membangkitkan perkara yang boleh menggugat dan meruntuh keharmonian negara.

Seri Paduka menegaskan bahawa perpaduan dan keharmonian rakyat adalah tiang seri dan kekuatan negara.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, usaha kerajaan mewujudkan Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat perlu disokong semua pihak.

Artikel Berkaitan:

"Jika badan itu berupaya memastikan keharmonian masyarakat, maka ia perlu disokong kerana masyarakat harus sedar untuk membina negara yang unik dengan kepelbagaian kaum serta agama, bukan ambil masa pendek untuk membina keharmonian.

"Namun jika tidak dijaga, ia boleh runtuh dalam masa sehari dua sahaja. Maka titik persefahaman perlu dicari agar perpecahan yang wujud dapat lupus secepat mungkin sebelum menjadi parah dan sukar dibaiki," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan cetus api perselisihan, titah Agong