Dua pelajar hilang selama 11 hari ditemui selamat

Nurbaiyah (kanan) dan Syafiqah ditemui selamat selepas menghilangkan diri selama 11 hari.
Nurbaiyah (kanan) dan Syafiqah ditemui selamat selepas menghilangkan diri selama 11 hari.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Dua pelajar perempuan tingkatan 3 yang menghilangkan diri sejak 11 hari lalu akhirnya ditemui dalam keadaan selamat dan dibawa pulang ke pangkuan keluarga.

Siti Nurbaiyah Sidek, 15, dan Syafiqah Adawiyah Jumri, 15, ditemui di sebuah taman perumahan di Kuala Sungai Baru, Melaka pada jam 3.30 pagi kelmarin.

Ibu Siti Nurbayah, Haslina Hassim, 47, berkata, maklumat mengenai anaknya itu diperoleh selepas orang awam menghubunginya memaklumkan kedua-dua remaja itu berada di Melaka.

"Sejurus dapat maklumat, dua abang Nurbaiyah terus ke Melaka dan akhirnya mereka menemui anak saya dan rakannya.

"Saya bersyukur kerana kedua-duanya ditemui dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang prihatin terhadap kehilangan Nurbaiyah dan Syafiqah," katanya.

Bagaimanapun, katanya, meskipun Nurbaiyah dan Syafiqah ditemui, namun kedua-dua remaja itu enggan menceritakan lanjut tentang kehilangan mereka selama ini.

"Saya tak nak terlalu mendesak dan mahu beri Nurbaiyah ruang sebelum dia sendiri cerita segalanya kepada kami.

“Saya berharap perkara ini tidak berulang sebab kedua-duanya bakal menjalani Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tak lama lagi, selain masih di bawah umur dan perlukan pantauan berterusan dari keluarga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Haslina berkata, Siti Nurbaiyah dijangka kembali ke sekolah esok dan berharap guru serta rakan memberi sokongan moral serta semangat.

"Saya juga cadang bawa Nurbaiyah jalani rawatan tradisional dalam waktu terdekat untuk pulihkan kembali semangatnya," katanya.

Sinar Harian pada 23 Julai lalu melaporkan, dua pelajar perempuan tingkatan tiga di sebuah sekolah di daerah ini dilaporkan hilang, 19 Julai lalu.

Kejadian kira-kira jam 4 petang itu disedari Siti Rahmah Md Mokthar, 42, selepas mendapati anaknya, Syafiqah, tidak berada di dalam biliknya.

Siti Rahmah yang menetap di Taman Desa Parit Mahang berkata, Syafiqah bersama Nurbaiyah sebelum kejadian pulang ke rumahnya dari sekolah, bagaimanapun menghilangkan diri pada petang hari sama.

ARTIKEL BERKAITAN:Dua pelajar perempuan tingkatan 3 hilang sejak Jumaat