Dua pelajar perempuan tingkatan 3 hilang sejak Jumaat

Syafiqah (kiri) dan Siti Nurbaiyah (kanan) dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu.
Syafiqah (kiri) dan Siti Nurbaiyah (kanan) dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Dua pelajar perempuan tingkatan tiga di sebuah sekolah di daerah ini dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu.

Kejadian kira-kira jam 4 petang itu disedari Siti Rahmah Md Mokthar, 42, selepas mendapati anaknya, Syafiqah Adawiyah Jumri, 15, tidak berada di dalam biliknya.

Siti Rahmah yang menetap di Taman Desa Parit Mahang berkata, Syafiqah Adawiyah bersama seorang lagi rakannya, Siti Nurbaiyah Sidek, 15, pulang ke rumahnya dari sekolah sebelum kejadian.

"Syafiqah kemudian hantar Siti Nurbaiyah ke rumahnya di Bukit Kuching dan bila sampai ke rumah semula, dia (Syafiqah) terus masuk ke dalam bilik.

"Masa kejadian, saya sedang sibuk lipat kain dan bila selesai, saya jenguk ke bilik Syafiqah tapi terkejut apabila dia tak ada," katanya kepada pemberita, hari ini.

Menurut Siti Rahmah, seorang rakan anaknya dikenali sebagai 'Aidil' memberitahu, dia baharu sahaja menghantar anaknya bersama Siti Nurbaiyah menaiki bas di Klang Sentral.

"Pada hari kejadian, Syafiqah sempat meminta saya duit RM20 untuk baiki motosikal, tapi motosikal ada di rumah, Syafiqah pula yang hilang," katanya.

Menurutnya, sehingga kini mereka sekeluarga bimbang terhadap keselamatan anak kedua daripada tujuh beradik berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Saya dah berusaha mengesan Syafiqah di beberapa kawasan di Shah Alam, tapi belum berhasil," katanya.

Ibu Nurbaiyah, Haslina Hassim, 47, berkata, kehilangan anaknya itu amat dirasai seluruh ahli keluarga.

Menurut Haslina, dia terkejut apabila pihak pengurusan Klang Sentral menemui beg pakaian di surau pagi tadi.

"Pekerja pembersihan jumpa beg anak saya dan saya hantar beg dan dokumen kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, dia tidak menolak kemungkinan anaknya itu dilarikan individu berdasarkan perbualan dalam aplikasi WhatsApp anaknya bersama beberapa rakan sekolah yang lain.

"Kali terakhir anak hantar mesej melalui WhatsApp rakan sekolahnya kelmarin memberitahu dia dibawa seorang mak cik ke Shah Alam untuk bekerja di restoran.

"Kami cari dia di beberapa lokasi di situ tapi kelibatnya masih tak dijumpai," katanya.

Haslina berkata, dia buntu memikirkan keselamatan anaknya apatah lagi sudah empat hari tidak mendengar khabar berita.

"Saya merayu agar kedua-duanya pulang ke rumah kerana kami risau tentang keadaan mereka," katanya.

Katanya, dia dan Siti Rahmah membuat laporan kehilangan anak mereka di Balai Polis Kuala Selangor jam 11 pagi kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan dua remaja berkenaan pada Ahad lalu.

“Polis dalam proses mengumpul seberapa banyak maklumat berhubung kehilangan dua remaja ini dan siasatan lanjut sedang berjalan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kedua-dua remaja ini diharap tampil ke balai polis berhampiran membantu siasatan,” katanya.