Hidup sebatang kara, rumah jadi sasaran pencuri

Mohamad Said (kanan) sewaktu melawat Som (tengah) di rumahnya di Kampung Melayu, Kluang.
Mohamad Said (kanan) sewaktu melawat Som (tengah) di rumahnya di Kampung Melayu, Kluang.
A
A
A

KLUANG – Seorang warga emas yang tinggal sebatang kara dan serba kekurangan di Kampung Melayu, di sini, terpaksa hidup dalam ketakutan selepas rumahnya sering menjadi sasaran pencuri.

Som Omar, 83, berkata, dia yang tinggal di rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) itu mengakui sudah beberapa kali kediamannya dipecah masuk walaupun pada siang hari.

"Kali terakhir rumah mak cik dipecah masuk adalah pada bulan Ramadan lalu apabila ada dua lelaki datang ke rumah dan cakap hendak tumpang buang air kecil dan mak cik pun benarkan mereka masuk ke dalam rumah.

"Bagaimanapun, lain pula jadinya apabila mereka keluarkan pisau dan minta barang-barang berharga mak cik dan habis rumah ini kena geledah walaupun mereka tahu tiada barang-barang berharga," katanya.

Dia ditemui semasa menerima lawatan dan penyampaian sumbangan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Mohamad Said Jonit dan Persatuan Kebajikan Ikatan Amal Kasih Kluang (Baik) di rumahnya di Kampung Melayu, di sini hari ini.

Menurutnya, dia yang turut menghidap pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi kini terpaksa mengharapkan bantuan jiran-jirannya selain bergantung dengan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Arwah suami sudah lama meninggal dan anak tunggal mak cik pula mengikut suaminya di Muar dan mak cik memang tidak mahu susahkan dia (anak) dan biarlah mak cik tinggal seorang diri di rumah ini walaupun segalanya serba kekurangan.

"Mak cik terpaksa masak menggunakan dapur kayu kerana tiada duit hendak beli tong gas, dan kalau ada tong gas nanti jadi sasaran pencuri pula dan bila malam mak cik gunakan pelita kerana lebih selesa walaupun rumah ini ada bekalan elektrik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sekiranya cuaca hujan, dia terpaksa menggunakan baldi atau besen untuk menadah air ekoran keadaan bumbung rumahnya yang bocor selain mengakui keadaan rumahnya tidak terurus kerana kudrat emasnya turut membataskan pergerakannya.

Sementara itu, Mohamad Said berkata, beliau mencadangkan agar warga emas ini ditempatkan di pusat penjagaan warga emas bagi memastikan kebajikan dan keselamatannya lebih terjamin.

"Jadi, saya minta anak tunggal mak cik Som supaya dapat menghubungi kami kerana kami mahu meminta kebenarannya terlebih dahulu sama ada dia bersetuju atau tidak ibunya ditempatkan di pusat penjagaan warga emas.

"Berdasarkan pemerhatian saya hari ini, keadaan kesihatan mak cik Som ini semakin uzur ditambah pula dengan keadaan rumahnya yang agak daif dan sekiranya dia ditempatkan di pusat penjagaan warga emas, segalanya akan dipantau," katanya.