185,000 individu layak terima bil elektrik percuma sehingga RM40

MESTECC
MESTECC
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan melalui Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) telah menyediakan peruntukan RM80 juta untuk memberi Rebat Bil Elektrik berjumlah RM40 kepada 185,000 miskin tegar dan miskin yang berdaftar dan disahkan dalam Sistem e-Kasih.

MESTECC melalui kenyataan media berkata, program Rebat Bil Elektrik RM40 ini adalah merupakan program bantuan kerajaan secara bersasar khusus kepada keluarga miskin tegar dan miskin yang berdaftar dan disahkan dalam Sistem e-Kasih.

Di bawah program ini katanya, ketua isi rumah miskin tegar dan miskin di bawah e-Kasih yang telah dikenal pasti akan menerima bil elektrik secara percuma sehingga RM40 sebulan, bergantung kepada jumlah penggunaan elektrik mereka.

“Sekiranya penggunaan elektrik adalah di bawah RM40 sebulan, secara automatik ketua isi rumah tersebut akan menerima bil elektrik percuma berdasarkan bil sebenarnya.

“Walau bagaimanapun, sekiranya penggunaan elektrik melebihi RM40 sebulan, Ketua Isi Rumah tersebut hanya perlu membayar baki bil selepas ditolak bantuan rebat sebanyak RM40 tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.

Program rebat bil elektrik adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan kebajikan dan kualiti hidup rakyat seperti yang telah dinyatakan dalam Bajet 2019 pada 2 November lalu.

Pengguna-pengguna boleh membuat semakan untuk kelayakan eKasih dan kelayakan menerima bantuan rebat bil elektrik di Portal MESTECC atau menghubungi My Government Call Centre (MyGCC) di talian 03-8000 8000.

Pengguna juga boleh membuat semakan kelayakan di Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan menghubungi pihak Careline di talian 1-300-88-5454 atau membuat semakan terus di Kedai Tenaga yang berdekatan.

Artikel Berkaitan:

Bagi pengguna di Sabah, talian Helpline Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) ialah 088-515000 / 15454 dan bagi pengguna di Sarawak, talian Customer Care Sarawak Energy Berhad (SEB) ialah 1-300-88-3111.

Bagi pengguna e-Kasih yang layak tetapi tidak mempunyai akaun berdaftar dengan TNB, SESB mahupun SEB, pengguna boleh membuat permohonan bagi mengisytiharkan akaun pihak ketiga dengan mengisi borang permohonan di mana-mana Kedai Tenaga TNB, Pejabat SESB atau Pejabat SEB yang terdekat bersama salinan kad pengenalan sebagai dokumen sokongan.

Bagi pengguna yang tidak layak setelah semakan dibuat dan ingin mendaftar dalam program e-Kasih, pengguna diminta merujuk kepada Pejabat Pembangunan Persekutuan atau Jabatan Pembangunan Persekutuan di peringkat negeri dan di Unit Pembangunan Pejabat Daerah.

Program Rebat Bil Elektrik RM40 ini merupakan program baharu diperkenalkan bermula 1 Januari depan sehingga 31 Disember 2019.

Program ini menggantikan Program Rebat Bil Elektrik RM20 yang tamat pada bulan Disember 2018.