Sinar Harian kekalkan kredibiliti

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Sinar Harian akan terus berusaha mengekalkan kredibiliti sebagai sebuah akhbar yang selari dengan objektif kewujudannya sejak 13 tahun lalu menerusi pengisian lebih matang yang menjadi penentu hala tuju masa depan masyarakat dan negara.

Itu adalah antara perkara yang dikongsikan Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf yang juga pemilik akhbar Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub sempena ulang tahun ke-13 akhbar Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, Sinar Harian akan terus berdiri sebagai media yang bebas, berani, tidak berat sebelah dan jujur dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

“Dahulu Sinar Harian menjadi juara dalam apa juga isu kerana persaingannya berbeza. Sekarang Sinar Harian perlu jadi lebih matang kerana cabaran dunia media sudah berlainan dan media telah bebas melaporkan dan menganalisis berita.

“Sinar Harian perlu menjadi lebih baik daripada media lain supaya kredibiliti yang dimiliki menjadi kelebihan untuk terus mengekalkan akhbar ini sekali gus relevan pada masa akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.

Berkongsi kisah bagaimana lahirnya Sinar Harian, Hussamuddin berkata, ketika itu beliau bercadang mewujudkan sebuah akhbar yang bebas daripada mana mana parti politik atau pihak berkepentingan.

Katanya, sekitar 13 tahun lalu, beliau melihat perkembangan politik dunia sedang berubah dan media di Malaysia kebanyakannya dimiliki parti politik menjadikan setiap laporan memihak kepada satu-satu pihak sahaja.

“Ketika itu juga teknologi sudah mula berkembang dan saya kira ada peluang untuk kami masuk ke dalam arena ini dengan mewujud kan akhbar bersifat bebas. Saya cuba lahirkan sebuah akhbar yang duduk di tengah-tengah dan menyiar kan berita daripada semua pihak.

Artikel Berkaitan:

“Dengan modal tidak besar, ambil kakitangan 'fresh graduate', editor daripada orang majalah, kita berusaha menerbitkan akhbar ini. Dari selangkah ke selangkah, masyarakat semakin terbuka dan kesedaran politik semakin menyerlah menjadikan pengisian Sinar Harian ketika itu diterima sehingga hari ini,” katanya.

Hussamuddin berkata, seiring dengan perkembangan digital, Sinar Harian turut serta bersaing bersama-sama media lain di platform digital dengan mewujudkan Sinar Harian Online dan Sinar.TV.

Menurutnya, Sinar Harian Online pada awal pengenalannya adalah satu-satunya medium atas talian yang agak bebas berbanding portal lain.

“Tetapi kami bukanlah terlalu bebas tetapi bebas sedikit berbanding orang lain. Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dunia media Malaysia mula berubah. Semua orang jadi bebas dan berani menyebabkan padang yang dahulunya Sinar Harian Online terokai kini terbuka kepada orang lain.

“Bagaimanapun, kami ada kelebihan yang dimiliki sejak dahulu, masyarakat sudah percaya dengan kita (Sinar Harian) kerana kebebasan dan kredibiliti yang kami ada. Saya yakin Sinar Harian akan menjadi satu satunya media yang memiliki akhbar dalam talian dan televisyen internet yang lebih bebas daripada pihak lain,” katanya.

Katanya, Sinar Harian akan terus meningkatkan mutunya untuk menjadi akhbar dan media yang boleh membentuk dan mendidik masyarakat.

“Saya harap pembaca akan terus bersama Sinar Harian kerana kita mempunyai kredibiliti dan sifat neutral. Apa yang dilaporkan berasaskan kebenaran dan tiada agenda lain.

“Agenda kita mahu melaporkan berita yang tepat supaya pembaca boleh fikir dan mendapat kebaikan daripa da isu yang disampaikan,” katanya.