Teresa Kok ketuai misi pelaburan ke India

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Industri Utama, Teresa Kok mengetuai Misi Ekonomi dan Pelaburan Minyak Sawit dan Getah ke India mulai semalam untuk meningkatkan lagi hubungan perdagangan antara New Delhi dan Putrajaya.

Misi lima hari itu juga bertujuan menyelesaikan isu berkaitan perdagangan serta untuk menerokai peluang pasaran dan pelaburan, terutamanya dalam minyak sawit dan getah.

“India dan Malaysia berkongsi susur galur sejarah yang lama dan persamaan kebudayaan, serta hubungan baik yang telah terjalin sejak sekian lama dan telah berkembang dan membantu mencartakan landskap bagi hubungan ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Delegasi itu terdiri wakil daripada kementerian, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC).

Kementerian berkata Malaysia sentiasa melihat India sebagai rakan kongsi perdagangan strategik dan penting dengan perdagangan telah mengalami evolusi daripada barangan seperti rempah ratus, pakaian dan makanan kepada barangan seperti komoditi, terutamanya minyak sawit dan getah ketika ini.

Pada 2018, India ialah pengimport ketiga terbesar minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit bernilai RM6.84 billion atau 10.1 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit negara.

Bagi sektor getah pula, India mengimport 1.5 peratus daripada jumlah eksport getah dan produk berasaskan getah negara yang bernilai RM476.56 juta.

Pada misi itu, Kok akan menghadiri Seminar dan Pameran Perdagangan Minyak Sawit Malaysia-India (POTS) 2019, yang akan diadakan di Mumbai.

Artikel Berkaitan:

Seminar itu akan menyediakan sokongan kepada industri minyak sawit Malaysia dalam membangunkan dan meningkatkan peluang perdagangan di India serta menerokai usaha sama perniagaan dan untuk memberikan perkembangan terkini dalam industri minyak dan lelemak.

Kok juga akan menghadiri Seminar Pendidikan: Pengurusan Kawalan Jangkitan – Memilih Sarung Tangan Yang Betul, yang dianjurkan MREPC di New Delhi. Seminar itu bertujuan mendidik pengamal perubatan di India tentang kepentingan dan isi kandungan sarung tangan getah untuk mengawal jangkitan dan untuk mempromosikan sarung tangan getah perubatan negara dalam kalangan pengamal perubatan dan pekerja penjagaan kesihatan di India.

Pada misi itu, beliau turut dijadual mengadakan perbincangan dua hala dengan Menteri Kesatuan bagi Perdagangan dan Industri Piyush Goyal, Menteri Kesatuan bagi Industri Pemprosesan Makanan Harsimrat Kaur Badal, dan Menteri Kesihatan & Kebajikan Keluarga Harsh Vardhan.

Kok juga dijangka menghadiri majlis makan malam dan dialog dengan komuniti perniagaan tempatan dan diaspora Malaysia.

Objektif dialog itu untuk memperkukuhkan jaringan perhubungan serta meningkatkan usaha mempromosi khasiat minyak sawit dan sarung tangan getah.

Misi Ekonomi dan Pelaburan Minyak Sawit dan Getah ke India merupakan sebahagian daripada aktiviti yang sedang dilaksanakan kementerian untuk mempromosikan produk berasaskan minyak sawit dan produk berasaskan getah ke pasaran utama terutamanya negara di Asia Selatan.- Bernama