Agong di hati rakyat Malaysia

No Image Caption
A
A
A

HARI ini ialah hari yang penuh bersejarah buat Malaysia. Selepas menandatangani surat sumpah jawatan pada 31 Januari lalu, hari ini Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Majlis pertabalan itu akan secara rasminya meletakkan Seri Paduka Baginda sebagai payung mahkota yang menaungi rakyat Malaysia untuk tempoh lima tahun.

Majlis pertabalan itu sesungguhnya penuh bermakna bukan sahaja buat rakyat negara ini, bahkan kepada Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sendiri.

Kedua-dua Seri Paduka Baginda menerusi beberapa temu bual media sebelum ini menceritakan bagaimana nostalgianya majlis pertabalan hari ini di hati mereka.

Ini kerana ayahanda dan bonda Al-Sultan Abdullah, Almarhum Sultan Ahmad Syah dan Almarhumah Tengku Ampuan Afzan pernah menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-7 antara 1979 hingga 1984.

Menariknya, takhta Yang di-Pertuan Agong ke-8 selepas itu disambung pula oleh ayahanda Tunku Azizah, Almarhum Sultan Iskandar bersama Sultanah Zanariah antara 1984 hingga 1989.

Hari ini, selepas lebih 30 tahun, giliran kedua-dua anakanda daripada kerabat Pahang dan kerabat Johor menjadi payung mahkota rakyat Malaysia.

Yang pasti, dalam tempoh hampir enam bulan lalu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah telah menjadi kesayangan jutaan rakyat Malaysia kerana limpah kasih yang mereka tumpahkan.

Artikel Berkaitan:

Jika sebelum ini, kasih sayang itu terzahir untuk rakyat Pahang, hari ini lebih 32 juta rakyat Malaysia bertuah apabila turut berkongsi kasih Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Program menyantuni gelandangan di Kuala Lumpur baru-baru ini sebagai contoh sudah cukup untuk membuktikan betapa benarnya ungkapan raja dan rakyat berpisah tiada buat kedua-dua Seri Paduka Baginda.

Kita juga tidak mungkin lupa setiap kali banjir di Pahang, Tunku Azizah adalah antara orang paling sibuk apabila turut turun padang menyingsing lengan memasak untuk mangsa banjir.

Hari ini ialah hari istimewa apabila kedua-duanya menaik takhta. Doa rakyat Malaysia mengiringi pertabalan Seri Paduka Baginda.