Bayaran elaun pelajar praktikal perlu ambil kira kos sara hidup: DPIM

Shahir Adnan
A
A

KOTA BHARU - Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) mencadangkan kerajaan membuat pembayaran elaun kepada pelatih industri di sektor awam berdasarkan beberapa kriteria bagi kemudahan pihak terlibat.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, pihaknya menyokong penuh keputusan Kabinet mewajibkan pembayaran elaun tersebut, namun meminta bayaran dibuat mengambil kira keperluan pelatih atau penuntut universiti yang mengikuti latihan praktikal.

Menurutnya, kerajaan juga harus melihat lokasi tempat latihan, sama ada di kawasan bandar besar atau sebaliknya berikutan kos sara hidup makin meningkat.

“Berdasarkan kenyataan media, skim pembayaran kepada pelatih akan dinilai mengikut beberapa kriteria yang akan ditetapkan dan ia akan dilaksanakan bagi kemudahan pelatih.

“Selaras dengan perkara tersebut, kami menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk melihat kriteria penting seperti kos pengangkutan, kos penginapan dan perbelanjaan harian bagi pembayaran elaun kepada pelatih,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pembayaran elaun kepada pelatih industri yang berkhidmat di sektor awam yang akan diperkenalkan semula oleh kerajaan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, keputusan itu dicapai selepas mendapat persetujuan Kabinet dalam mesyuarat jemaah menteri 24 Julai lalu.

Sementara itu Shahir berkata, gesaan juga dibuat kepada kerajaan untuk mewajibkan elaun diberikan kepada pelajar yang terlibat dalam praktikal di syarikat-syarikat swasta.

“Kami berharap pemimpin muda PH tidak lupa kepada janji manifesto mereka setelah mengutarakan isu elaun berbayar ini. Kita menggesa PH untuk menunaikan janji manifesto dahulu iaitu isu pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), pendidikan percuma, peluang pekerjaan dan gaji minimum.

“Ramai graduan yang masih terpinggir disebabkan pengangguran dan tersepit disebabkan kos sara hidup yang meningkat tinggi. Ingat, harga barangan masih tinggi walaupun SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) diperkenalkan.

"Ada juga barangan yang lebih mahal sekarang jika dibandingkan dengan harga ketika GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan),” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Elaun pelatih kerajaan diperkenalkan semula


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia