Setiu bakal miliki taman tema

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SETIU- Sebuah taman tema berkonsepkan agropelancongan bakal dibina di Setiu awal tahun depan.

Pengurus Besar Peladang Setiu Agro Resort, Ahmad Sanusi Ibrahim berkata projek pembinaan taman tema yang dijangka menelan kos lebih RM4 juta itu akan mengambil masa kira-kira setahun untuk siap sepenuhnya.

“Setelah menerima kelulusan dasar dari kerajaan negeri pada November tahun lalu, kita kini dalam proses menghantar pelan pembangunan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Bila pelan itu diluluskan, projek tersebut akan melalui beberapa fasa dan dibina pada keluasan tanah 4.46 hektar berdekatan Peladang Setiu Agro Resort di Guntung,” katanya.

Katanya taman tema tersebut akan dikelilingi keindahan alam semula jadi yang menjadikan ia berbeza daripada taman tema yang lain.

Menurut Ahmad Sanusi dengan adanya taman tema itu, ia bukan sahaja akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat malah turut menjadi tarikan tambahan kepada Peladang Setiu Agro Resort.

“Pelancong bukan sahaja dapat meluangkan masa di taman tema, malah dapat melakukan aktiviti seperti water rafting, jungle tracking, flying fox dan sebagainya yang turut ditawarkan di resort kami,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Komunikasi Negeri, Ariffin Deraman berkata sekiranya projek itu berjaya, Setiu akan menjadi ‘pintu’ pelancongan kepada Terengganu.

“Lokasi projek itu mempunyai pemandangan yang cantik kerana ia berada di kawasan berbukit bukau dan mampu menarik pelancong,” katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja ke Setiu hari ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Ariffin berkata kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM60,000 bagi membaik pulih infrastruktur seperti tandas, bilik persalinan serta surau di Air Terjun Lata Chakah dan Lata Payung.

“Kita cadangkan kerja baik pulih itu yang akan bermula selewat-lewatnya November ini dilakukan secara gotong-royong bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan jabatan kerajaan berkaitan. Ia dijangka mengambil masa dua minggu untuk disiapkan,” katanya.- Bernama