X

Kindly register in order to view this article
!

Pelan PPPM 2013-2025 catat pencapaian signifikan

Maszlee (tengah) bersama Nie Ching (dua dari kiri), Mohd Gazali (dua dari kanan) dan Amin (kiri) selepas melancarkan Laporan Tahunan 2018 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Laporan Tahunan 2018 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah mencatatkan banyak pencapaian signifikan dalam memastikan sistem pendidikan terus berada pada tahap berkualiti.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pelbagai usaha telah dilaksanakan agar akses universal kepada pendidikan untuk semua dapat dicapai.

Menurutnya, hasil daripada usaha mengkordinasikan prasekolah awam dan swasta di seluruh negara, kementerian berjaya meningkatkan enrolmen prasekolah kebangsaan daripada 84.3 peratus pada tahun 2017 kepada 85.4 peratus pada tahun 2018.

Katanya, kementerian juga telah merintis program Sifar Cicir Murid yang menyasarkan murid tercicir di peringkat rendah dan menengah supaya mereka kembali bersekolah dan mendapat pendidikan sewajarnya.

"Program ini telah berjaya mengurangkan kadar keciciran murid sebanyak 26.1 peratus bagi sekolah menengah dan 25.6 peratus di sekolah rendah. Hasil rintis tersebut, Perlis contohnya telah berjaya mendaftar semula 100 peratus murid yang cicir di sekolah rendah dan menengah di antara bulan Ogos dan November 2018,” katanya.

Beliau berucap di majlis pelancaran Laporan Tahunan 2018 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching; Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Amin Senin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Gazali Abas.

Selain itu, menurut Maszlee, kementerian juga telah berjaya memperjuangkan ekuiti dan inklusif dalam sistem pendidikan.

“Melalui usaha kementerian dalam membudayakan PAK21 dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), kita berjaya meningkatkan jumlah Sekolah Penarafan KBAT yang mencapai tahap Cemerlang daripada 4.6 peratus pada tahun 2017 kepada 67 peratus pada 2018.

"Sebanyak 75.4 peratus guru-guru yang telah dilatih dalam PAK21 menerusi Program Transformasi Sekolah 2025 telah berjaya dikategorikan sebagai Baik setelah dinilai semula.

“Manakala, dengan memperkasakan pegawai pendidikan negeri dan daerah menerusi Program Transformasi Daerah, kita telah berjaya mengurangkan jurang pencapaian merentas sosioekonomi daripada 4.5 peratus pada tahun 2017 kepada 3.5 peratus pada tahun 2018. Kita juga telah meningkatkan kadar peralihan murid orang Asli dari peringkat sekolah rendah ke sekolah menengah rendah daripada 73.1 peratus pada tahun 2017 kepada 76.7 peratus pada tahun 2018,” katanya.

Dalam pada itu katanya, aspek integrasi perpaduan dalam sistem pendidikan juga telah berjaya dicapai. Program rintis latihan Kursus Penerapan Nilai Perpaduan untuk pemimpin sekolah menghasilkan 97 peratus peserta mencapai tahap Cemerlang dalam menerapkan amalan perpaduan ini.

Sementara dari segi kecekapan pula, Kementerian Pendidikan telah meningkatkan pengurusan sistem agar lebih efisien antaranya, pembaikpulihan jumlah sekolah daif telah ditingkatkan kepada tiga kali ganda iaitu daripada 120 buah sekolah pada tahun 2017 kepada 394 pada tahun 2018.

Bagaimanapun Maszlee menekankan, kejayaan yang dicapai melalui pelaksanaan PPPM 2013-2025 tidak dicapai semalaman dan kementerian mengakui masih ada kelemahan.

Menurutnya, walaupun perhatian dan pelaburan besar diberikan terhadap Inisiatif Peningkatan Bahasa Inggeris, pencapaian kadar lulus Bahasa Inggeris peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah menurun daripada 79.1 peratus pada tahun 2017 kepada 78.4 peratus pada tahun 2018.

“Walaupun sasaran kita untuk mengambil guru-guru yang terbaik ke dalam Institusi Latihan Guru, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini guru-guru pelatih dalam kalangan murid berpencapaian tinggi SPM telah menurun secara konsisten,” katanya.

Sehubungan itu, menurut beliau kementerian perlu sentiasa fleksibel dan tangkas bertindak untuk memperbaiki kelemahan itu.

Katanya, kementerian sedang melihat semula PPPM 2013-2025 bagi memastikan kesesuaiannya dalam keadaan semasa. Walaupun visi dan misinya masih kekal tetapi beliau mahu pelaksanaan sesuatu kerja perlu ditambah baik secara drastik.

“Saya ingin menegaskan bahawa PPPM 2013-2025 akan terus kekal. Kita akan mengekalkan momentum positif yang telah diusahakan selama enam tahun ini,” katanya.

Maszlee berkata, Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKDPN) yang ditubuhkan akan mengumpulkan 13 pakar rujuk dari sektor awam dan swasta seluruh negara untuk meneliti semula dasar pendidikan.

Dapatan kajian itu menunjukkan walaupun PPPM 2013-2015 secara umumnya kekal relevan, namun masih terdapat perubahan lebih berani perlu dilakukan.

"Perubahan inilah yang menepati teras pendidikan dan menggambarkan sistem pendidikan yang ingin kita lihat di Malaysia.

“Konsep asas yang diketengahkan akan merombak semula pendekatan gred berdasarkan umur atau laluan berpendidikan tunggal yang mungkin akan tinggal menjadi sejarah dalam Malaysia Baharu,” katanya.

Pada 2018, terdapat 27 inisiatif berskala besar dalam PPPM yang memfokuskan kepada memberikan akses, meningkatkan kualiti, menerajui ekuiti, memupuk perpaduan dan menambah baik kecekapan dalam sistem pendidikan Malaysia.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus