FAM utamakan pengadil tempatan untuk Piala Malaysia 2019

Okabe melayangkan kad kuning kepada Baddrol pada final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil. -Foto Bernama
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk memberi keutamaan kepada barisan pengadil tempatan bagi kesemua perlawanan dalam saingan Piala Malaysia 2019, termasuk aksi final piala berprestij itu yang dijadualkan pada November ini.

Bagaimanapun, keputusan itu bergantung kepada prestasi semasa yang ditunjukkan pengadil tempatan yang akan terlibat dalam mengendali perlawanan Piala Malaysia yang akan bermula Jumaat ini.

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Md Dali Wahid mengingatkan pengadil tempatan agar terus bekerja keras dalam usaha memperbaiki kelemahan selain cuba mengurangkan kesilapan ketika ditugaskan mengadili sesuatu perlawanan.

"Saya tidak mengatakan sama sekali pengadil kita tidak mempunyai kualiti dan sebagainya...kita (FAM) tetap memberi keutamaan kepada pengadil-pengadil kita untuk mengendalikan perlawanan akhir akan datang.

"Tetapi ia mungkin bergantung kepada prestasi semasa mereka. Oleh itu saya nasihatkan semua pengadil tempatan sentiasa berikan yang terbaik dan jangan ulang segala kesilapan pernah dilakukan sebelum ini.

"Kita tidak mahu sampai tahap bila nama pengadil dikeluarkan, orang bercakap buruk mengenai kita sebelum perlawanan bermula lagi," katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai pengadil Jepun, Takuto Okabe yang mengadili perlawanan akhir Piala FA 2019 antara Perak dan Kedah, Sabtu lepas, Md Dali berkata prestasi yang dipamerkan Okabe adalah setanding prestasi pengadil profesional.

Katanya, pengadil berusia 38 tahun itu memperolehi purata antara 8.3 ke 9 daripada keseluruhan 10 markah penilaian yang dilakukan penilai pengadil bertauliah tempatan.

Beliau berkata purata markah Okabe pada aksi yang menjangkau 120 minit itu, pernah diperoleh pengadil tempatan ketika mengendalikan perlawanan akhir saingan domestik sebelum ini.

"Penggunaan pengadil dari luar itu adalah merupakan salah satu usaha percubaan untuk melihat perbezaan kualiti tetapi kita lihat ada juga dalam kalangan pengadil tempatan yang mencapai tahap kualiti ditunjukkan Okabe," katanya.

Sebagai rekod, Okabe adalah pengadil utama saingan J1 League yang menjadi pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sejak 2015 dengan pengalaman mengadili perlawanan Liga Juara-juara AFC dan Piala AFC sejak 2016 dan Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Pada aksi final yang disaksikan 83,250 penyokong itu, Okabe turut dibantu dua penolongnya yang juga dari Jepun, Akane Yagi, 45 dan Osamu Nomura, 30 sementara pengadil tempatan Razlan Joffri Ali, 34, diletakkan sebagai pengadil keempat.

Perlawanan yang berlangsung sengit itu menyaksikan Kedah menyamai rekod Selangor sebagai pasukan paling berjaya dalam sejarah Piala FA selepas meraih gelaran kelima menerusi jaringan kemenangan oleh pemain gantian, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam pada minit ke-105.

Piala FA 2019 menyaksikan FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) buat julung kali melantik pengadil luar sebagai alternatif kepada dakwaan isu mutu pengadilan yang lemah oleh pengadil tempatan, termasuk pada final Piala Malaysia 2018 antara Terengganu dan Perak. -Bernama