Isu warganegara: Muhyiddin digesa jangan tunduk gesaan DAP

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO menggesa agar Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak tunduk terhadap gesaan DAP dalam mendepani isu-isu mendapatkan status kewarganegaraan.

Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Muhyiddin perlu tegas dalam perkara ini selari dengan peruntukan Perlembagaan.

"Menteri Dalam Negeri perlu mengakui bahawa beliau menerima tekanan daripada DAP berhubung isu-isu kewarganegaraan.

"Ini dapat dilihat dalam kenyataan ADUN Pending, Violet Yong Wui Wui, pada 15 Mac 2019 bahawa beliau bersama-sama Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, dan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen, menemui Pegawai Khas Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Marzuki Mohamad, bagi memastikan kelulusan kepada kes-kes permohonan kewarganegaraan dari Sarawak diluluskan dalam masa paling cepat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, tekanan daripada DAP berhubung isu-isu kewarganegaraan juga dapat dilihat melalui kenyataan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, di Parlimen yang berkali-kali mahukan Menteri Dalam Negeri menggunakan budi bicara yang didakwa diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk meluluskan permohonan kewarganegaraan.

"Pengakuan Violet Yong bahawa pertemuan pemimpin DAP dengan KDN adalah bertujuan untuk memastikan kelulusan kepada kes-kes permohonan kewarganegaraan diluluskan dalam masa paling cepat dan tekanan Datuk Ngeh Koo Ham supaya Menteri Dalam Negeri menggunakan budi bicara untuk meluluskan permohonan kewarganegaraan ini adalah antara petunjuk jelas bahawa DAP berusaha mendapatkan kewarganegaraan melalui pintu belakang!," katanya.

Justeru katanya, Pemuda UMNO berharap Muhyiddin tidak sesekali tunduk dengan tekanan DAP dan kekal tegas dengan segala prosedur dan syarat-syarat yang sedia ada berhubung dengan kewarganegaraan.

Artikel Berkaitan: