Pelihara aurat dengan orang bukan Islam

JAGALAH pemakaian dan aurat di hadapan wanita bukan Islam. -Gambar hiasan
A
A

KEPADA mereka yang duduk di asrama ketika menyambung pengajian atau tinggal berasingan daripada keluarga, barangkali ada yang pernah tinggal sebilik atau serumah dengan orang bukan Muslim.

Ya, ia bukanlah perkara yang janggal, malah ada dalam kalangan kita pasti mempunyai rakan baik yang bukan beragama Islam, bukan?

Namun, apabila Muslim tinggal serumah dengan orang yang beragama lain, bagaimanakah aurat mereka?

Sebenarnya, umat Islam dibolehkan tinggal serumah dengan orang yang bukan beragama Islam, tetapi hendaklah menjaga aurat.

Ini kerana aurat orang Islam dengan bukan Islam ialah sama seperti aurat bukan mahram iaitu orang yang boleh dikahwini.

Bagi orang lelaki, aurat bermula dari pusat hingga ke lutut, manakala wanita pula semua anggota kecuali muka dan tapak tangan.

Sementara itu, Imam Zakariyya al-Ansari Rahimahullah menyebut dalam kitabnya Asna al-Matalib: “(Dan bermula wanita Muslimah itu berhijab di hadapan wanita kafir) sebagai satu kewajipan. Justeru haram membiarkan wanita kafir merenung ke arahnya berdasarkan firman ALLAH SWT 'Au nisaihin' dalam Surah al-Nisa’, ayat 31, maksudnya “atau perempuan-perempuan Islam” dan wanita kafir itu bukan daripada kalangan wanita beriman.

"Ini kerana kemungkinan wanita kafir itu akan menceritakan rupa paras wanita Muslimah kepada lelaki yang kafir. Justeru, tidak boleh dibenarkan wanita kafir masuk ke dalam hammam (bilik mandi awam) sedangkan ada bersama wanita Muslimah di dalamnya. Benar, diharuskan bagi wanita Muslimah untuk mendedahkan bahagian tubuh yang terdedah ketika bekerja.”

Menurut Imam Syihabuddin al-Ramli Rahimahullah dalam menghuraikan lagi kalam gurunya: “Ini menunjukkan kepada pensahihan beliau dan perkataan beliau, “apa yang didedahkan ketika bekerja” bererti wajah, kepala, tapak tangan sehingga siku dan tapak kaki sehingga lutut.”

Justeru, dalam hal itu, pada asalnya, wanita Muslimah perlu menutup aurat di hadapan wanita bukan Islam melainkan bahagian-bahagian badan yang terdedah ketika berkerja.

Apapun, penjagaan aurat itu amat penting sekalipun antara wanita Islam dengan bukan Islam agar tidak membawa fitnah dan menjatuhkan maruah wanita Muslimah.

Realiti kehidupan hari ini yang berbeza dengan zaman dahulu dan meraikan keadaan semasa yang bersifat realiti perlu diambil kira.

Kepada wanita Muslimah yang tinggal serumah atau sebilik dengan wanita bukan Islam, jagalah pemakaian kita sebaik mungkin.

Jadikan peluang itu untuk berdakwah kepada Islam dengan menunjukkan akhlak dan perilaku yang baik.

(Sumber: Laman Web Rasmi Jabatan Mufti Negeri Selangor dan #Al-Kafi #695: Hukum Tinggal Sebilik dengan Rakan Bukan Islam, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)