TH Lantik hampir 400 sukarelawan 'Sahabat Maktab'

No Image Caption
A
A
A

MAKKAH - Lembaga Tabung Haji (TH) melantik hampir 400 sukarelawan dalam kalangan jemaah haji sebagai ‘Sahabat Maktab’ yang berperanan membantu jemaah dan melancarkan operasi musim haji tahun ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman berkata, sukarelawan yang dipilih antara lain terdiri daripada mereka yang sihat tubuh badan, berusia muda, mempunyai pengalaman sebagai sukarelawan dan ada kepakaran diperlukan untuk membantu jemaah haji.

Beliau berkata, mereka yang dilantik sebagai Sahabat Maktab itu memohon sendiri untuk menjadi sukarelawan program itu, malah ada yang bertanya untuk memohon, ketika mengikuti kursus haji dianjurkan TH di tanah air.

"Ada tiga kategori (Sahabat Maktab) iaitu sahabat umum bantu kita untuk tugas umum, sahabat medic terdiri daripada sukarelawan ada latar belakang perubatan dan sahabat ibadah mereka punya latar belakang dan pengalaman agama bagi bantu pembimbing gerakkan aktiviti surau juga di Arafah dan Mina.

"Program ini bermula sejak 2006 dan ditambah baik daripada tahun ke tahun, ia memain peranan penting dalam membantu Tabung Haji menyantuni duyufurrahman (tetamu ALLAH) ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Sahabat Maktab di sini hari ini.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

Syed Saleh berkata, sembilan maktab penginapan kendalian TH di sini masing-masing akan mempunyai 35 hingga 40 sukarelawan Sahabat Maktab yang ia akan membantu petugas TH yang terhad untuk mengurus setiap maktab.

Beliau berkata sebagai seorang Sahabat Maktab, mereka perlu mempunyai sifat tidak pentingkan diri sendiri dan suka membantu orang lain.

Artikel Berkaitan:

"Ia memerlukan pengorbanan yang amat besar, malah di Arafah dan Mina ketika jemaah berada dalam khemah, mereka di luar dalam cuaca panas membantu jemaah haji untuk pergi melontar dan pelbagai lagi, kami di Tabung Haji ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada mereka semua," katanya. - Bernama