PGA Senoi Praaq bersama Perhilitan banteras pemburu haram

Datuk Seri Abdul Hamid Bador
A
A

PUTRAJAYA - Dua batalion Polis Gerakan Am dari Senoi Praaq telah dikerahkan untuk membantu Jabatan Perhilitan, membanteras pemburu haram yang memburu hidupan liar dalam hutan negara terutamanya Harimau Malaya, yang kini diancam kepupusan, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata satu batalion yang terdiri daripada 500 anggota, akan ditugaskan bersama-sama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk melakukan rondaan di kawasan hutan yang telah dikenal pasti, manakala satu lagi batalion dalam keadaan bersiap sedia.

Abdul Hamid berkata selaku Ketua Polis Negara, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk memberi apa juga bantuan kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, sempena dengan Hari Selamatkan Harimau hari ini.

"Tujuan saya memberikan (Batalion) Senoi Praaq untuk tugasan ini adalah kerana mereka sedia mahir sebagai penjejak dan mereka juga biasa hidup dalam persekitaran hutan.

"Saya telah memberikan mereka kata-kata semangat bahawa inilah tanah tempat nenek moyang mencari rezeki untuk hidup dan sekarang keadaan teruk sekali, (di mana) warga asing secara tidak bertanggungjawab datang merompak fauna yang begitu mahal harganya dalam negara ini,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Global Tiger Day 2019 dan Pelancaran Kempen Selamatkan Harimau Malaya 2019-2020, di sini hari ini.

Turut hadir Penaung Kempen Selamatkan Harimau yang juga isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar.

Abdul Hamid berkata pihaknya juga akan memberi latihan kepada pegawai-pegawai dan anggota Jabatan Perhilitan dalam bentuk penggunaan senjata api, selain turut menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) apabila berhadapan dengan ancaman dari pemburu haram.

"Jadi dengan adanya satu batalion Senoi Praaq, ia sedia membantu Jabatan Perhilitan yang selama ini saya dengar amat tercabar sekali tugasan mereka, di dalam hutan.

"Nyawa mereka diancam oleh kumpulan pemburu haram dari luar negara yang begitu berani dan ganas. Kita akan guna kuasa untuk menembak mereka jika ada keperluan,” katanya.

Selain itu, sebagai tanda sokongan dan dokongan pihak Polis Diraja Malaysia kepada usaha kementerian membanteras kegiatan haram ini, Abdul Hamid berkata beliau telah mengarahkan Cawangan Khas untuk menubuhkan satu bahagian khas, khusus untuk mengumpul maklumat berkenaan pemburu haram dan pihak-pihak yang terlibat dalam kegiatan ini.

"Cawangan Khas (SB) ini telah pun saya kerahkan menubuhkan satu bahagian khas, khusus untuk mengumpul maklumat tentang bukan sahaja pemburu-pemburu haram, tetapi juga mereka yang terlibat memperdagangkan bahagian haiwan liar daripada tanduk, daging, hempedu dan sebagainya.

"SB juga diberi tanggungjawab untuk pantau gaharu. Ini bermakna kita pantau semua termasuk flora. Apa sahaja dalam hutan yang mereka (pemburu haram) curi, tebang, dan jerat itu semua akan diambil tindakan oleh pihak saya,” katanya.

Sementara itu, Xavier berkata tiga kawasan diberi tumpuan untuk operasi membanteras pemburu haram Harimau Malaya iaitu Hutan Tropika Belum-Temenggor, Taman Negara Pahang-Terengganu dan Taman Negara Endau Rompin. -Bernama