Anggota hilang: SAR diteruskan ke kawasan laut

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua anggota tentera yang hilang di Pulau Perak, Kedah Jumaat lepas, kini diperluas di sekitar kawasan laut.

Sumber berkata sebelum ini pencarian telah dibuat di kawasan darat pulau berkenaan, tetapi tidak menemui sebarang petunjuk kehilangan mereka.

"Pencarian di kawasan darat tidak menjumpai sebarang pakaian atau kasut mereka. Selain itu, kawasan pulau berkenaan juga mempunyai tebing yang tinggi serta curam.

"Oleh yang demikian, pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengerahkan Kapal Diraja Muhammad Amin TLDM melakukan SAR di kawasan laut,” menurut sumber tentera itu ketika dihubungi Bernama.

Sumber berkata kapal itu telah digerakkan dalam operasi SAR pada 20 Julai yang memfokuskan pencarian di sekitar kawasan pulau dan perairan berkenaan.

Ditanya sama ada operasi SAR dihentikan, sumber itu berkata sehingga kini tiada arahan menamatkan operasi SAR dan ia akan diteruskan meliputi kawasan sekitar pulau berkenaan.

"Operasi SAR akan diteruskan sehingga kedua-dua anggota tentera berkenaan ditemui," katanya.

Pada 23 Julai lepas, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata pihaknya telah menjalankan siasatan daripada semua sudut berhubung kehilangan dua anggota tentera darat yang sedang bertugas dalam operasi di pulau itu.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Usaha cari dua anggota 4RRD hilang di Pulau Perak giat dijalankan

Dua anggota tentera yang hilang itu ialah Kpl David Edmund Rapi dan L/Kpl Moses Logers dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Perlis.

Kehilangan kedua-dua anggota itu dikesan ketika Ketua Penempatan membuat pemeriksaan pada lewat malam (19 Julai) bagi mengira kekuatan anggota.

Sebelum ini, kes kehilangan anggota ATM di Pulau Perak pernah berlaku pada 3 Okt 2016 yang membabitkan Kpl Johbartlee Kanil, 32, dari Sabah dan Kpl Mohd Faizol Rosli, 29, dari Kampung Sungai Limau di Pulai, Baling, hilang selepas terjatuh ke laut ketika sedang mengambil air.

Mohd Faizol bagaimanapun ditemukan oleh anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) dalam jarak 30 meter dari Pulau Perak selepas empat hari hilang (6 Okt 2016) akibat terjatuh ke laut di Pulau Perak, dekat perairan Langkawi. Namun Johbartlee dilaporkan masih belum ditemukan sehingga kini. -Bernama