JKM cari ibu kandung, waris 5 kanak-kanak, bayi

Tasha Nurshaqirin (gambar atas kiri), Muhammad Kaleef (gambar bawah kiri), Muhammad Khairul Hakimi (gambar bawah kanan), Mohd Faiz Mohd Ilyas (gambar atas kanan) dan Norshafiqa (gambar tengah).
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur meminta ibu kandung atau waris tampil bagi membantu urusan penempatan dan kebajikan tiga kanak-kanak serta dua bayi yang dirujuk kepada agensi itu sebelum ini.

Bahagian Kanak-Kanak dan Perintah Khidmat Masyarakat JKM Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, kes pertama melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun bernama Tasha Nurshaqirin.

"Tasha ditinggalkan ibu kandung warga Indonesia dikenali sebagai Tuti kepada seorang wanita bernama Sukmawati Yusuf pada Jun tahun lalu.

“Penjaga sementara yang mendapat perintah jagaan sementara dari Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Kuala Lumpur maklumkan ibu bapa kandung Tasha sudah pulang ke Indonesia pada 3 Julai lalu,” katanya.

Menurutnya, bagi kes kedua, bayi tiga bulan bernama Muhammad Khairul Hakimi didapati diabaikan dan kesnya dirujuk ke JKM oleh Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP) Hospital Selayang.

“Bayi ini dibawa ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Kuala Lumpur pada 17 Mei lalu dan mendapat perintah jagaan sementara di JKM.

“Ibu kandungnya tidak dapat dikesan selepas hadir ke JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 15 Mei lalu,” katanya.

Berdasarkan kenyataan itu, kes ketiga pula membaitkan bayi bernama Muhammad Kaleef berusia 5 bulan ditinggalkan ibu kandung kepada seorang individu tanpa sebarang dokumen pada 17 April lalu dan tidak menuntutnya hingga kini.

"JKM turut mencari waris kepada Mohd Faiz Mohd Ilyas, 11, yang ditemui merayau-rayau di sekitar Jalan Imbi pada tahun 2016 sebelum ditempatkan di institusi kebajikan.

“Bagi kes ini kami mencari bapa kandungnya, Mohd Ilyas Muzir Meah yang merupakan warganegara Myanmar," katanya.

Menurutnya, untuk kes kelima pula melibatkan pencarian waris kepada kanak-kanak perempuan bernama Norshafiqa, 5.

“Kanak-kanak ini diserahkan seorang wanita bernama Ina kepada Norlia Mohammed pada tahun 2014 sewaktu kanak-kanak itu berusia 5 bulan.

"JKM menggesa ibu kandung atau waris kepada semua kanak-kanak dan bayi ini tampil membantu mahkamah membuat keputusan terbaik bagi penempatan serta kebajikan mereka,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung waris kanak-kanak tersebut boleh talian 0326124000 atau hadir ke JKM Kuala Lumpur di Tingkat 9, Grand Seasons Avenue di Jalan Pahang di sini.