Tiga pacuan empat roda lesap

Razmi Mohd Gunnos
Razmi Mohd Gunnos
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemilik sebuah pusat servis kenderaan di Jalan Kamaruddin, di sini, terpaksa menanggung kerugian hampir setengah juta setelah tiga pacuan empat roda lesap dipercayai dilarikan sekumpulan penjenayah, semalam.

Kejadian disedari anggota polis peronda kira-kira jam 12 tengah malam selepas ternampak pintu pagar premis berkenaan terbuka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Assisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos berkata, curiga dengan keadaan itu, anggota polis bertugas kemudian memaklumkan pemilik pusat servis berkenaan, sebelum mangsa datang membuat pemeriksaan.

Beliau berkata, pemeriksaan kemudian mendapati, tiga daripada lima pacuan empat roda jenis Ford Ranger bernilai hampir RM400,000 yang diletakkan dalam keadaan berkunci di premis itu sudah tiada bersama kunci kenderaan yang disimpan dalam laci pejabat yang dikunci.

"Pemeriksaan lanjut mendapati tingkap tepi premis berkenaan terbuka disyaki diumpil dan kunci mangga pintu pagar depan dipotong untuk membawa keluar kenderaan.

"Selain itu, nombor pendaftaran kereta pelanggan lain yang disimpan di premis berkenaan turut hilang dipercayai ditanggalkan untuk dipasang pada tiga kenderaan yang dilarikan untuk mengaburi pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Razmi berkata, premis berkenaan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), bagaimanapun ia rosak pada hari kejadian.

Katanya, susulan kejadian pemilik premis berkenaan membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, polis kini giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk bangunan dan Seksyen 379A kanun sama kerana mencuri kenderaan.