Dua beradik gembira akhirnya dapat ke sekolah

Raju (tiga dari kiri) dan Ravinthran (empat dari kanan) berbual dengan Murugan dan adiknya Namitha serta Ratnama (empat dari kanan).
Raju (tiga dari kiri) dan Ravinthran (empat dari kanan) berbual dengan Murugan dan adiknya Namitha serta Ratnama (empat dari kanan).
A
A
A

SKUDAI - [DIKEMASKINI] Kegembiraan pada wajah dua beradik jelas tergambar selepas dapat pergi ke sekolah kerana selama ini tidak dapat belajar seperti kanak-kanak seusia mereka berikutan masalah kewarganegaraan.

Namitha, 9 dan abangnya Murugan, 11, berpeluang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Ungku Tun Aminah (Tuta) di sini bermula hari ini.

Nenek mereka, M Ratnama, 62, berkata, kedua-dua cucunya itu tidak dapat ke sekolah kerana sijil kelahiran mereka tercatat bukan warganegara berikutan anak lelaki dan menantunya tidak mendaftarkan perkahwinan mereka.

Menurutnya, dia yang bertanggungjawab menjaga kedua-dua cucunya itu selepas kedua-dua ibu bapa mereka berpisah dan berkahwin lain sejak 2010.

"Mak cik terpaksa bekerja sebagai tukang cuci pinggan di kedai makan dengan gaji lebih kurang RM1,000 sebulan selain dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan untuk sara mereka.

"Dengan gaji yang ada, mak cik terpaksa berjimat cermat kerana perlu bayar duit sewa rumah di Lima Kedai sebanyak RM600 sebulan," katanya ketika ditemui di SJKT Tuta di sini hari ini.

Ratnama berkata, dia begitu bimbang memikirkan masa depan kedua-dua cucunya itu sedangkan mereka mahu belajar seperti kanak-kanak lain.

"Seorang guru simpati dengan nasib kami dan secara rela hati mengajar kedua-dua cucu sejak dua tahun lalu. Sebab itu, walaupun tak pernah ke sekolah mereka kenal huruf dan boleh membaca.

Artikel Berkaitan:

Namitha & Murugan
Namitha & Murugan

"Selain itu, mereka juga pandai bertutur dalam bahasa Melayu kerana selalu bercampur dengan anak-anak jiran," katanya.

Dia turut bersyukur dipertemukan dengan B Ravinthran, 45, yang membantunya sejak Disember tahun lalu bagi membolehkan kedua-dua cucunya bersekolah hingga diterima masuk ke SJKT Tuta.

"Mak cik sangat gembira apabila dapat tahu kedua-dua cucu dapat ke sekolah sebab kasihan melihat mereka terpaksa duduk di rumah sahaja selama ini," katanya.

Sementara itu, Ravinthran yang juga Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, dia membantu keluarga itu berurusan dengan JKM, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Pendidikan negeri termasuk dari segi penyediaan dokumen.

"Saya kasihan melihat kesusahan keluarga ini selain demi masa depan kedua-dua beradik ini. Saya bimbang masa depan kanak-kanak tidak bersalah disia-siakan.

"Saya harap masyarakat lebih peka perkara seumpama ini untuk mengelak kes sama tidak berulang," katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu dan Guru SJKT Tuta, Datuk P Raju berkata, pihaknya mengalu-alukan kedatangan kedua-dua beradik itu ke sekolah berkenaan.

"Diharap dua beradik ini sentiasa bersemangat datang ke sekolah setiap hari untuk mengejar mata pelajaran mereka yang tertinggal sebelum ini," katanya.