Piagam UMNO-Pas satukan parti dan tokoh Melayu: Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (empat, kanan, barisan depan) bergambar bersama barisan kepimpinan UMNO bahagian Alor Setar.
Ahmad Zahid (empat, kanan, barisan depan) bergambar bersama barisan kepimpinan UMNO bahagian Alor Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Piagam UMNO-Pas yang bakal dimeterai akan menyatukan dua parti politik Melayu selain tokoh Melayu dalam pelbagai bidang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana pihaknya percaya penyatuan ummah bukan hanya menjadi agenda UMNO dan Pas, sebaliknya merangkumi semua pihak tanpa mengira fahaman politik masing-masing.

Menurutnya, tokoh-tokoh Melayu dalam pelbagai bidang antaranya akademik, ekonomi, agama dan sosial akan dijemput ketika majlis menandatangani dan pelancaran piagam UMNO dan Pas, pada 14 September depan.

“Semua orang Melayu dan kaum-kaum lain pelbagai lapisan turut diundang hadiri program itu sebagai tanda sokongan mereka terhadap usaha penyatuan ummah ini,” katanya, ketika ditemui selepas program santai bersama barisan kepimpinan UMNO bahagian Alor Setar di Dewan RC, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Ahmad Zahid berkata, walaupun agenda penyatuan ummah memfokus kepada penyatuan Melayu, namun piagam itu turut memberi keadilan kepada semua tanpa meminggirkan kaum-kaum lain.

“Semua tokoh utama UMNO dan Pas, termasuk Ketua UMNO Bahagian dan Yang Dipertua Pas kawasan seluruh negara juga akan diundang menyaksikan detik bersejarah itu, semua rakyat yang menyokong penyatuan ummah ini dijemput hadir,” katanya.

Menurutnya, bentuk kerjasama yang dimeterai kelak akan diperincikan kemudian.

Artikel Berkaitan:

Mengulas dakwaan pemimpin Pakatan Harapan (PH) bahawa UMNO melakukan gimik untuk meraih sokongan rakyat dengan mewujudkan tabung dana parti itu sebagai persiapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),

Ahmad Zahid berkata, PH turut melakukan perkara sama apabila mewujudkan Tabung Harapan sebelum ini.