Polis cedera diserang hampir 50 warga Afrika

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Kormersil (JSJK) Selangor diserang hampir 50 warga Afrika ketika serbuan yang dilakukan pasukan itu di Pangsapuri Flora, Damansara di sini, malam Khamis.

Dalam kejadian sekitar jam 10.50 malam itu, salah seorang daripada mereka berpangkat lans koperal cedera di muka sementara tiga lagi cedera di bahu, tangan dan mata dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Kejadian berlaku ketika sepasukan polis terdiri daripada seorang pegawai dan tiga lagi anggota menyerbu lokasi itu selepas menerima maklumat berkaitan kes penipuan.

Difahamkan, warga Afrika berkenaan telah membaling, kayu, botol dan selipar ke arah polis dan keadaan semakin tegang apabila mereka mula memukul polis menggunakan laci meja pada mukanya dan dipijak dan ditumbuk bertubi-tubi di muka.

Susulan keadaan semakin tegang, pegawai polis telah mengeluarkan pistol dan arahkan kumpulan warga Afrika itu beredar, tetapi salah seorang cuba merampas pistolnya dan memaki polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, tindakan warga Afrika berkenaan jelas melanggar undang-undang dan polis tidak akan berkompromi tentang perkara itu. Tindakan tegas akan diambil kepada semua yang terus melanggar undang-undang negara.

Terdahulu, Fadzil memberitahu, empat anggota polis yang diserang telah ke lokasi selepas menerima maklumat berkaitan satu kes penipuan.

Menurutnya, semasa serbuan, polis telah membuat pemantauaan selama lima minit di hadapan rumah berkenaan sebelum bertindak memecahkan pintu selepas penghuninya enggan memberi kerjasama.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat tiga wanita dan dua lelaki semuanya warga Afrika berada di dalam rumah berkenaan dan mereka enggan menunjukkan dokumen pengenalan diri serta bersikap agresif dan menjerit ke arah polis.

"Semasa polis sedang meredakan keadaan terdapat hampir 50 lelaki warga Afrika telah berkumpul di hadapan rumah dan menjerit ke arah polis.

"Polis berusaha menenangkan keadaan namun kumpulan lelaki warga asing itu bersikap semakin agresif mula membaling, kayu, botol dan selipar ke arah polis. Dalam keadaan yang tegang, tiga anggota polis telah ditarik keluar dari rumah dan mula diserang.

"Sementara pegawai polis telah ditolak masuk ke dalam rumah dan dikurung tidak dibenarkan keluar," katanya kepada Sinar Harian.

Fadzil berkata, ketika keadaan huru-hara lima suspek yang berada di dalam rumah melarikan diri dengan bantuan warga Arika lain yang berada di sana.

"Usaha menahan suspek dilakukan polis tetapi warga Afrika yang datang membuat kacau semakin agresif sehingga polis terpaksa mengeluarkan pistol dan arahkan mereka beredar namun mereka tidak berganjak.

"Sekitar jam 12 tengah malam, sepasukan lapan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor tiba di lokasi untuk membantu dan warga Afrika mula melarikan diri. Salah seorang daripada mereka patah kaki akibat terjun bangunan tersebut.

"Polis berjaya menahan 10 warga Afrika dan mereka direman empat hari sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut. Tindakan mengesan mereka yang lain sedang giat dijalankan," katanya.

Fadzil menambah, anggota yang cedera dirawat sebagai pesakit luar di PPUM dan keadaannya stabil dan semasa insiden, barangnya kepunyaan polis turut hilang seperti telefon dan kunci motor.