Pasangan suami isteri parah ditetak

No Image Caption
A
A
A

NIBONG TEBAL - Sepasang suami isteri parah selepas diserang tiga lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di Taman Kuang Indah, Sungai Bakap di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, mangsa yang berusia 48 tahun ditetak di dada, belakang badan selain mengalami patah tangan kiri manakala isterinya yang berusia 37 tahun ditetak di tangan kanan dan kiri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian pasangan terbabit sedang berjalan dari sebuah tokong menuju ke kereta mereka yang diletakkan berhampiran kawasan perumahan terbabit.

"Tidak lama kemudian pasangan itu dihampiri tiga lelaki bersenjatakan parang dan menyerang serta menetak pasangan terbabit sebelum mereka melarikan diri. Kedua-dua mangsa cuba lari menyelamatkan diri namun gagal kerana suspek menetak mereka tanpa belas kasihan.

"Pasangan terbabit kemudian dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap sebelum dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut berikutan kedua-duanya mengalami kecederaan parah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati ada tiga lelaki bersenjatakan parang panjang menetak pasangan terbabit.

"Setakat ini, kita masih lgi mneyiasat motif kejadian dan kedua-dua mangsa juga mendakwa tidak tahu kenapa suspek menyerang dan menetak mereka.

"Usaha mengesan semua suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: