Khaled 'edit' kenyataan MB Johor di Facebook

Dr Sahruddin Jamal (kiri) dan Mohamed Khaled Norden.
Dr Sahruddin Jamal (kiri) dan Mohamed Khaled Norden.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegur dan memperbetulkan kenyataan Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal yang disiarkan dalam Facebook mengenai pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Johor bagi tahun 2018.

Menurutnya, kenyataan tersebut memaparkan banyak statistik yang salah, menyeleweng dan tidak tepat.

"Kenyataan yang bertujuan menunjukkan bahawa Pakatan Harapan (PH) Johor telah berjaya mengatasi rekod tahun sebelum ini di Barisan Nasional (BN) adalah salah.

"Berdasarkan Laporan Sosioekonomi Negeri 2018, pertumbuhan KDNK Johor tahun 2017 adalah 5.9 peratus, bukannya 5.2 peratus," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, ia bermakna kadar pertumbuhan Johor pada tahun 2017 adalah lebih tinggi daripada kadar pada tahun 2018 iaitu 5.6 peratus.

"Maka dakwaan bahawa Johor adalah antara tiga negeri yang berjaya mencatatkan 'pertumbuhan lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya adalah salah.

Posting berkaitan pertumbuhan KDNK Johor 2018 yang dimuat naik.
Posting berkaitan pertumbuhan KDNK Johor 2018 yang dimuat naik.

"Malah tiga negeri yang berjaya mencatatkan pertumbuhan lebih baik pada tahun 2018 sebenarnya adalah Perak, Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan, bukannya Johor," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Laporan Sosioekonomi Negeri 2018 melaporkan bahawa sektor pembuatan Johor mencatatkan pertumbuhan sederhana iaitu 5.1 peratus pada tahun 2018 berbanding 6.9 peratus (2017) yang didorong oleh sub sektor produk elektrik, elektronik dan optikal.

"Selain itu, laporan tersebut juga merekodkan bahawa sektor pertanian Johor bertumbuh lebih perlahan pada kadar 0.5 peratus pada 2018 yang dipengaruhi oleh penyusutan subsektor kelapa sawit.

"Tahniah kepada kerajaan negeri kerana sektor perkhidmatan dan pembinaan Johor mencatatkan pertumbuhan lebih baik bagi tahun 2018, berbanding 2017," katanya.

Bagaimanapun, Mohamed Khaled berkata, memilih untuk menggelapkan fakta sebenar dan mengubah rekod semata-mata mahu menunjukkan dirinya baik, bukanlah satu langkah yang jujur dan profesional.

Status dimuat naik semalam melalui beberapa suntingan.
Status dimuat naik semalam melalui beberapa suntingan.

"Saya sedar keterdesakan Menteri Besar Johor dalam menunjukkan prestasi PH Johor. Malah sebagai anak Johor, saya sendiri akan berasa gembira dan senang jika prestasi ekonomi Johor meningkat dan berada dalam keadaan baik.

"Dr Sahruddin harus memberikan kepimpinan kepada seluruh kerajaan negeri bagi mencapai prestasi baik bukannya menutup realiti dan membiarkan diri dikaburi perasaan optimistik keterlaluan. Saya mendoakan ekonomi Johor terus berkembang demi kebaikan untuk semua Bangsa Johor," katanya.

Mohamed Khaled menegur dan memperbetulkan kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook Sahruddin semalam, namun semakan mendapati ia melalui beberapa proses suntingan.