Mapim sambut baik perikatan tiga negara

Mohd Azmi
Mohd Azmi
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyambut baik gagasan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam membentuk satu perikatan tiga pihak yang melibatkan Malaysia, Turki dan Pakistan untuk bercakap bagi pihak masyarakat Islam global.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Mapim juga bersetuju dengan Dr Mahathir bahawa penting bagi negara Islam untuk bekerjasama dan diperkukuhkan supaya mereka dapat berbicara dengan lebih kuat sebagai satu suara.

Menurutnya, situasi negara-negara Islam yang kini berpecah oleh percaturan dan hegemoni kuasa-kuasa imperialis barat perlu ditangani dengan mewujudkan mekanisme berkesan dan praktikal untuk menyatukan umat Islam.

“Keperluan sekarang adalah kepimpinan yang kuat dan kehendak politik yang bersungguh untuk umat Islam menghadapi cabaran semasa.

“Kami berpendapat bahawa di tengah negara Islam berdiam diri mengenai isu-isu seperti penindasan yang jelas terhadap minoriti Islam seperti Uyghurs oleh Beijing, dan Rohingya oleh Yangon, negara-negara Islam harus kuat dan bersatu untuk mengukuhkan kedudukan mereka bagi melindungi Muslim yang tertindas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata, menyuarakan menyuarakan pendirian mengenai isu-isu ummah adalah penting.

“Ia bermula dari mengeluarkan kenyataan dan disusuli dengan umat Islam digerakkan untuk bertindak dari bawah ke atas.

“Kami percaya bahawa dengan reputasi dan keberkesanan pemimpin dari ketiga negara ini, negara-negara Muslim yang lain yang berfikiran sama boleh mengikuti jejak langkah tiga negara ini untuk membentuk pakatan yang lebih kuat,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pakatan itu juga harus bukan sahaja di peringkat kerajaan kepada kerajaan semata-mata tetapi harus juga melibatkan masyarakat sivil dan rakyat kepada rakyat.

“Dengan cara ini pemikiran dan sumber manusia lebih luas dapat dimanfaatkan. Kami mencadangkan tujuan utama pakatan itu adalah untuk membebaskan diri daripada penaklukan dan perubahan dari dalam ummah itu sendiri,” katanya.

Malah katanya, peranan ketiga-tiga negara itu akan sangat besar bagi merealisasikan agenda reformasi seperti yang digariskan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Bagaimanapun, dengan badan payung OIC yang lemah sekarang ini, isu sentral seperti Palestin nampaknya tidak dapat diselesaikan.

“OIC yang tidak berkesan yang dipimpin oleh beberapa negara yang telah menjadi alat kepada kuasa imperialis tidak mungkin dapat melindungi kepentingan negara-negara Islam,” katanya.