Beri peluang belia miliki rumah generasi kedua Felcra

pkr
pkr
A
A
A

BERA - Projek perumahan generasi kedua Felcra yang akan diteruskan dengan peruntukan RM34 juta seperti diumumkan kerajaan baru-baru ini perlu diberi keutamaan kepada golongan belia setempat.

Naib Ketua Cabang PKR Bera, P Sarawanan berkata, pada masa sama, pemilihan penerima perlu lebih teliti supaya mereka yang benar-benar layak diberi peluang untuk memiliki rumah berkenaan.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan projek tersebut benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasar.

"Permohonan dan agihan juga perlu telus tanpa sebarang unsur kronisme atau pilih kasih selain dibuka kepada semua kaum," katanya.

Sarawanan berkata, pada November 2016, Felcra Wilayah Pahang mengumumkan 586 rumah Felcra akan dibina di negeri ini iaitu 140 buah di Felcra Sri Makmur Pekan dan 446 lagi di Tembangau, Bera.

"Jadi kita amat berharap kerajaan meneruskan projek perumahan generasi kedua Felcra di Tembangau melalui peruntukan yang diluluskan kerajaan untuk tujuan tersebut baru-baru ini.

"Saya juga tekankan supaya projek pembinaan rumah Felcra ini diberikan kepada kontraktor yang berwibawa dan berkemampuan agar tidak berlaku projek terbengkalai seperti projek rumah generasi kedua Felda," katanya.

Baru-baru ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan RM34 juta bagi meneruskan pembinaan rumah generasi kedua Felcra..

Artikel Berkaitan:

Dalam ucapannya pada majlis Silaturrahim Bersama warga FELCRA Seberang Perak, Pasir Salak, Perak itu, Azmin berkata, terdapat 675 unit rumah generasi kedua Felcra di Pekan serta Bera Pahang, serta Sukau di Kinabatangan, Sabah tertangguh pembinaannya dan memerlukan RM73 juta untuk diteruskan.

Beliau berkata, isu itu dibawa untuk dibincangkan di peringkat Kabinet dan peringkat awal, kerajaan setuju meluluskan RM34 juta bagi meneruskan projek tersebut.