X

Kindly register in order to view this article
!

Isu projek kuari Gunung Pulai tak perlu diperbesar

Mohd Khairizal
A
A

ALOR SETAR - Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Islam Negeri Kedah (Yiked), Mohd Khairizal Khazali berharap projek kuari di Gunung Pulai, Baling tidak diperbesarkan lagi selepas mendapat kelulusan daripada semua pihak terlibat.

Menurutnya, semua perkara sudah diteliti terlebih dahulu oleh agensi berkaitan seperti Pejabat Tanah dan Galian Kedah, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) (Bahagian Pelesenan) dalam menyediakan Laporan Impak Penilaian Alam Sekitar (EIA) untuk projek berkenaan.

“Pihak yang memprotes projek tersebut perlu melihat secara menyeluruh kerana banyak manfaat yang diperoleh daripada projek ini terutamanya pulangan pendapatan kepada kerajaan Kedah.

“Selain itu, penduduk yang tinggal di sekitar tapak projek itu juga tidak perlu bimbang kerana aktiviti pengambilan batu kapur tidak menggunakan kaedah letupan sebaliknya menggunakan teknologi tinggi,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Khairizal yang juga Naib Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah berkata, batu kapur mendapat permintaan tinggi merangkumi pelbagai lapangan antaranya industri pembinaan, kaca, simen dan kosmetik.

Menurutnya, projek kuari tersebut mampu memberikan perolehan pendapatan kepada kerajaan Kedah yang akhirnya dipulangkan semula kepada seluruh rakyat terutamanya kepada sektor pendidikan di seluruh negeri termasuk daerah Baling.

Sebelum ini, kira-kira 100 penduduk sekitar Gunung Pulai membantah pengambilan tanah mereka untuk dijadikan jalan operasi kuari melalui bantahan aman di Kampung Che Wan Jusoh.

Mereka turut membantah usaha menjadikan sebahagian kawasan Gunung Pulai bagi projek operasi kuari batu kapur.

Untuk rekod, warta pengambilan 29 tanah bergeran bagi pembinaan jalan kuari dibuat pada 1 Mac 2018 dan projek berkenaan diluluskan kepada sebuah syarikat milik kerajaan negeri.