Kerajaan utamakan kualiti produk pertanian negara

Salahuddin (dua, kiri) ketika melawat salah satu gerai jualan pengusaha di Ekspo Malaysia Fest, Ekspo Singapura, Changi, di sini hari ini.
Salahuddin (dua, kiri) ketika melawat salah satu gerai jualan pengusaha di Ekspo Malaysia Fest, Ekspo Singapura, Changi, di sini hari ini.
A
A
A

SINGAPURA - Kualiti produk pertanian dan buah-buahan tempatan menjadi perkara utama diberi perhatian oleh kerajaan bagi memastikan sumber pendapatan Malaysia terus relevan serta mempunyai permintaan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, perkara itu juga merujuk kepada tahap keberkesanan eksport produk pertanian negara yang perlu mematuhi piawaian ditetapkan.

“Semua perlu (semua aspek berkaitan kualiti), kita kena melihat kepada seluruh rangkaian nilai, jadi kita perlu dapatkan atau sempurnakan mengikut protokol yang ditetapkan.

“Ini yang saya selalu tekankan termasuk bagaimana kita buat pada eksport durian tempatan kita ke China baru-baru ini. Kita tidak kompromi mengenai kualiti dan akan sentiasa mengikut piawaian yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Malaysia Fest 2019 di Ekspo Singapura, Changi, di sini hari ini.

Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Zainol Rahin Zainuddin; Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan dan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Ishak Ismail.

Salahuddin berkata, tumpuan berkaitan kualiti produk pertanian itu juga adalah untuk memastikan tiada rakan niaga yang sentiasa mempunyai hubungan baik dengan negara terputus di tengah jalan.

Katanya, selepas China, Singapura juga antara negara yang mempunyai hubungan baik dengan negara selain merupakan antara destinasi eksport produk pertanian tempatan yang terbesar.

Artikel Berkaitan:

"Saya yakin dan percaya, selepas China, sebenarnya Singapura juga adalah rakan niaga negara jiran yang begitu penting bagi kita (Malaysia), kekal dan memastikan barangan kita bermutu selain pasaran yang lebih luas.

"Kita perlu meningkatkan lagi kualiti barangan kita dan saya akan melihat ke hadapan bagaimana kita harus membantu (usahawan) ke hadapan untuk terus memasarkan bahan kita ke Republik Singapura ini," katanya.

Untuk rekod, sebanyak 223 gerai jualan terbabit dalam Malaysia Fest 2019 yang berlangsung selama empat hari bermula semalam dengan 27 daripadanya adalah gerai milik FAMA.