Amirudin, ADUN PKR tiada konflik

Najwan ketika menjawap pertanyaan pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) di SACC Mall, di sini petang tadi.
Najwan ketika menjawap pertanyaan pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) di SACC Mall, di sini petang tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Tidak ada sebarang konflik antara Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri ini.

ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi berkata, beliau merasakan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor itu masih mempunyai hubungan baik dengan ADUN PKR, baik di negeri ini mahupun dalam parti.

Mengulas pertanyaan pemberita mengenai implikasi apabila Amirudin dilihat cenderung kepada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Najwan menyifatkan isu sedemikian tidak timbul kerana Amirudin dilihat masih bergerak sebagai satu pasukan dalam parti dengan membawa agenda rakyat.

“Saya rasa Menteri Besar masih bersama-sama dengan pasukan ADUN PKR, baik di Selangor dan dalam parti. Tidak ada sebarang konflik.

“Beliau dipilih di bawah tiket PKR. Komitmen beliau kepada parti, tak ada pula beliau bercakap dia sokong siapa, maksudnya sama ada kem Azmin atau tidak,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) di SACC Mall, di sini petang tadi.

Dalam pada itu, Najwan mengelak pertanyaan pemberita sama ada beliau di bawah ‘kem Azmin’ atau ‘kem Anwar’ susulan pergolakan politik dalaman PKR dengan menjawab beliau di bawah 'kem PKR'.

Katanya, tidak perlu isu kononnya ada perbezaan di antara pimpinan diperbesarkan.

“Kita bergerak dalam satu pasukan. Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri (Azmin) telah menyatakan komitmen masing-masing bahawa mereka adalah dalam satu pasukan.

Artikel Berkaitan:

“Jadi saya fikir tidak perlu diperbesar-besarkan isu yang mengatakan wujud perselisihan antara dua tokoh ini,” katanya.

Najwan berkata, ahli parti juga dinasihatkan tidak memberi kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

“Kalau boleh nak parti dalam keadaan stabil.Tak perlu ada provokasi yang boleh menggugat perpaduan antara pimpinan,” katanya.