Pembukaan taman tema, Genting Malaysia umum dalam masa terdekat

Foto sumber internet
Foto sumber internet
A
A
A
SHAH ALAM - Genting Malaysia Bhd (Genting Malaysia) akan mengumumkan tarikh pembukaan taman tema luar dengan jenama Fox Entertainment Group yang tertangguh sebelum ini dalam masa terdekat.

Menurut jurucakapnya, Genting Malaysia kini sedang mengkaji semula jadual pembangunan taman tema itu termasuk aspek penjenamaan, pilihan nama serta strategi pemasaran.

"Taman tema itu akan dinamakan semula dan ia merupakan sebahagian daripada syarat penyelesaian yang dicapai antara Genting Malaysia dengan pihak-pihak terlibat.

"Tarikh pembukaannya pula akan dimaklumkan dalam masa terdekat," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Sebelum ini, Walt Disney dan Twenty-First Century Fox Inc disaman lebih AS$1 bilion (RM4.19 bilion) oleh pemilik kasino Genting Malaysia atas tuduhan melanggar kontrak berkaitan pembinaan taman tema dengan jenama Fox.
Artikel Berkaitan:


Bagaimanapun, dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Genting Malaysia dilaporkan sudah menyelesaikan sepenuhnya pertikaian dengan Fox Entertainment Group Llc, Twentieth Century Fox Corporation Corporation, Foxnext Llc, Twenty First Century Fox Inc dan The Walt Disney Company berhubung pembangunan taman tema luar.

Genting Malaysia berkata sebagai sebahagian daripada terma penyelesaian, semua pihak menandatangani memorandum perjanjian dinyatakan semula yang memberikan syarikat itu lesen untuk menggunakan harta intelek tertentu Fox dan susulan penyelesaian itu, semua pihak bersetuju menggugurkan semua tuntutan serta tuntutan balas antara mereka dalam tindakan undang-undang yang kini masih berjalan di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat bagi Daerah Tengah California.

"Genting Malaysia kini sedang mengemaskini rancangan pembangunan dan pembinaannya untuk menyiapkan taman tema luar itu menggunakan kedua-dua harta intelek Fox dan harta intelek bukan Fox. Taman tema luar berkenaan juga akan dinamakan semula," kata syarikat itu.