TEKUN salur RM5.3b bantu usahawan

Mohamad Suparadi
Mohamad Suparadi
A
A
A

TANAH MERAH - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) menyalurkan kira-kira RM5.3 bilion sebagai pinjaman membabitkan 419,483 usahawan di seluruh negara sejak penubuhannya 20 tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata, sebahagian besar kemudahan pinjaman itu bagi membantu peniaga dan usahawan kecil serta sederhana.

“Kemudahan pinjaman disediakan antara RM5,000 hingga RM100,000 terbukti berjaya membantu usahawan memajukan perniagaan masing-masing.

"Misalnya seorang usahawan di Terengganu kini berjaya memperoleh pendapatan mencecah RM20 juta setahun hasil pinjaman permulaan sebanyak RM5,000 daripada TEKUN,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penyampaian Bantuan Persekolahan di sini, hari ini.

Pada majlis itu 150 pelajar kurang bernasib baik dari daerah itu menerima bantuan RM100 setiap seorang.

Mohamad Suparadi berkata, TEKUN mahu menjadi pelopor dalam membantu peniaga dan usahawan kecil serta sederhana maju dalam pelbagai bidang perniagaan.

“Kami juga telah menyalurkan RM465 juta pembiayaan kepada 51,972 usahawan di Kelantan dalam tempoh sama.

"Kelantan adalah negeri terawal operasi TEKUN bermula kerana di negeri ini ramai peniaga dan usahawan kecil serta sederhana yang menceburi bidang perniagaan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: