Enam lagi anggota JPJ didakwa

Anggota JPJ dilihat memakai topeng muka ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth di sini pagi tadi.
Anggota JPJ dilihat memakai topeng muka ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth di sini pagi tadi.
A
A
A

BUTTERWORTH - Enam lagi penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth di sini atas 14 pertuduhan rasuah melindungi lori-lori di negeri ini.

Kesemua mereka didakwa menerima suapan keseluruhan berjumlah kira-kira RM10,900 daripada seorang pengarah syarikat pengangkutan bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh yang turut berdepan pertuduhan pilihan itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Mereka ialah Pembantu Penguat kuasa, Aminorofee Aris, 44, (5 pertuduhan), Pembantu Penguat kuasa, Muhammad Faizal Salleh, 33, ( 2 pertuduhan), Pembantu Penguat kuasa, Abu Ubaidah Yacob, 51, ( 2 pertuduhan), Pembantu Penguat kuasa, Azrul Faiz Md Saad, 36, (1 pertuduhan), Pemeriksa Kereta Motor, Mohd Sarwani Mohd Noor, 34, (3 pertuduhan) dan Mohd Yusri Jusoh, 48, (1 pertuduhan).

ARTIKEL BERKAITAN: Kes lori kebal: Lima anggota JPJ, bekas kakitangan SPAD mengaku tidak bersalah

Mengikut pertuduhan utama, kesemua mereka didakwa secara rasuah menerima suapan bagi diri mereka daripada Pengarah Syarikat Sam Lian Transport &Tyre Sdn Bhd dan TSR Transport Sdn Bhd sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori-lori milik syarikat terbabit (Sam Lian dan Tyre Sdn Bhd) yang mungkin melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kesalahan itu di lakukan di dua buah bank di Bukit Mertajam pada 2016.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama.

Untuk pertuduhan pilihan pula mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azlan Basri dan S.Selvaranjini menawarkan jaminan masing-masing antara RM10,000 hingga RM15,000 bagi semua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin antara RM8,000 hingga RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan manakala syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 24 September depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Mohamad Azlan Basri dan, S. Selvaranjini.

Lima tertuduh Aminorofee, Muhammad Faizal, Azrul Faiz, Mohd Sarwani dan Mohd Yusri diwakili peguam Mohd Hakim Hamran manakala Abu Ubaidah Yacob diwakili peguam M. Hafiz Zainol Abidin.

Seramai 11 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang termasuk seorang wanita dan seorang bekas anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama selepas di bawa ke mahkamah pada Rabu dan Khamis.

Terdahulu pada 28 Mei lepas, sembilan termasuk seorang bekas SPAD juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Pendakwaan itu susulan penahanan lebih 70 pegawai dan anggota JPJ Pulau Pinang pada Januari lalu, selepas disyaki terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri itu.