Al-Sultan Abdullah permata di hati rakyat

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tiga dari kiri) berkenan membantu mangsa kemalangan jalan raya Jasliza Jamil, 38, sewaktu baginda dalam perjalanan menuju ke Istana Melawati bulan lalu. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tiga dari kiri) berkenan membantu mangsa kemalangan jalan raya Jasliza Jamil, 38, sewaktu baginda dalam perjalanan menuju ke Istana Melawati bulan lalu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pagi 26 Jun lepas, Jasliza Jamil, 38, memandu kereta untuk ke pejabatnya yang terletak di Presint 2 Putrajaya dalam keadaan hujan renyai dan tanpa disangka hari itu akan meninggalkan detik bersejarah dalam hidupnya.

Berita mengenai dirinya menjadi bahan media sosial selepas kereta Perodua Alza berwarna merah miliknya terbabas ke tengah pembahagi jalan ketika melalui kawasan susur Persiaran Barat Lebuh Sentosa dan yang menjadi perhatian ialah sesosok tubuh yang menghampiri keretanya untuk memberikan bantuan.

Sewaktu rakan sepejabatnya datang membantu, Jasliza, Pegawai Penerangan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dipetik akhbar sebagai berkata, beliau masih trauma ketika duduk di dalam kereta apabila melihat seseorang yang disangkakan anggota polis bertanya sesuatu.

Namun apabila diamati sosok tubuh itu memakai songkok dengan lilitan putih serta diiringi payung kuning, barulah beliau sedar bahawa yang datang itu ialah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Saya memang terkejut," Jasliza dipetik sebagai berkata. Seri Paduka mencemar duli selama kira-kira lima minit bertanya keadaan dirinya, malah menawarkan untuk membawa beliau ke hospital jika mengalami kecederaan.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Terkejut saya tengok payung kuning'

Selepas Jasliza memaklumkan bahawa beliau dalam keadaan baik, Al-Sultan Abdullah dilaporkan meneruskan perjalanan ke Mesyuarat Pra-Kabinet bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Istana Melawati, Putrajaya diiringi konvoi istana.

Pada hari yang sama tidak lama selepas kejadian, pihak istana menghubungi Jasliza untuk bertanya sekiranya beliau memerlukan sebarang bantuan lagi.

Artikel Berkaitan:

Peristiwa ini begitu meluas dimuat naik dalam platform media sosial, laman sesawang berita serta portal santai dan blog yang berebut-rebut menyiarkan kisah keluhuran hati baginda Al-Sultan Abdullah yang sudi mendekatkan diri baginda dengan keadaan rakyat.

Tambahan pula kejadian ini berlaku tidak lama selepas peristiwa baginda mencemar duli beratur sendiri membeli santapan tengah hari di restoran makanan segera KFC di Temerloh, Pahang selepas menunaikan solat Jumaat.

ORANG PAHANG TAHU

Menurut Pegawai Khas dan Protokol Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Datuk Abdul Rahman Endut, berdasarkan pengalaman beliau berkhidmat dengan baginda sejak 45 tahun lalu, kisah kemuliaan peribadi Al-Sultan Abdullah bukanlah satu perkara yang asing di mata rakyat Pahang.

Gambar Al-Sultan Abdullah beratur membeli hidangan ayam goreng KFC turut tular di laman sosial.
Gambar Al-Sultan Abdullah beratur membeli hidangan ayam goreng KFC turut tular di laman sosial.

Perbuatan seperti makan di restoran makanan segera adalah perkara yang biasa baginda lakukan sejak zaman mudanya belajar di United Kingdom lagi. Bahkan tindakan baginda membawa keluarganya makan di restoran seperti KFC dan McDonald’s adalah satu senario biasa di bandar seperti Kuantan dan Pekan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bila Agong beratur sendiri beli KFC...

“Kiranya untuk orang Pahang, kami sudah lama tahu sikap tuanku, tetapi mungkin sebab baginda baru dilantik Yang di-Pertuan Agong kini rakyat dari negeri lain juga dapat lihat sikap luhur baginda itu,” katanya.

Tambah Abdul Rahman, memang sudah menjadi sikap Al-Sultan Abdullah untuk peka dengan keadaan sekeliling ketika baginda dalam perjalanan dari satu tempat ke tempat lain.

Baginda juga sudah banyak kali membantu mangsa kemalangan jalan raya. Antaranya di Lipis, Pahang dan sepanjang Lebuhraya Pantai Timur (LPT). Sekiranya dalam satu-satu perjalanan Al-Sultan Abdullah melihat kemalangan, baginda akan terus mengarahkan konvoi pengiring baginda berhenti untuk melihat apa yang berlaku.

“Pernah waktu saya bertugas sebagai juruiring tuanku, bila tuanku lihat ada kemalangan, saya dititahkan untuk pergi melihat keadaan. Jika ada keperluan baginda akan arahkan ambulans yang mengiringi baginda diguna untuk membawa mangsa ke hospital, dan satu daripada motorsikal pengiring untuk pergi mengiring ambulans itu sampai ke hospital.

“Tidak cukup dengan itu, baginda bertitah kepada saya untuk mendapatkan laporan kejadian. Sambil itu baginda turut beri kepada saya wang kurniaan peribadi baginda untuk disampaikan kepada mangsa. Saya pun pergilah...,” cerita Abdul Rahman.

MINTA LAPORAN

Bukan setakat berhenti untuk membantu, malah kata Abdul Rahman, sudah menjadi kebiasaan bagi Al-Sultan Abdullah untuk meminta laporan bagi kes-kes yang telah baginda beri bantuan.

Laporan pertama yang beliau akan dapatkan ialah laporan polis kerana ia mudah untuk diperolehi. Selepas itu barulah beliau akan mendapatkan laporan kesihatan atau sebarang laporan yang perlu untuk dipersembahkan kepada Seri Paduka.

Tujuan Al-Sultan Abdullah meminta kedua-dua laporan ini adalah agar dapat tahu perkembangan mangsa dan bergantung kepada keadaan, baginda mahu tahu apa lagi bantuan yang perlu disalurkan.

“Ada masanya tuanku melalui setiausaha baginda membuat permohonan kepada pihak hospital agar menyegerakan rawatan atau pembedahan. Kalau ada apa-apa yang nak kena bayar, tuanku akan bayar. Kerja sayalah untuk sampaikan laporan kepada tuanku kalau orang kena bedah ke atau kena masuk besi ke...,” jelas Abdul Rahman lagi.

Situasi yang sama berlaku apabila Seri Paduka membaca surat khabar atau bertemu rakyat.

Menurut Abdul Rahman, apabila mendapat tahu keadaan kesusahan rakyat, Al-Sultan Abdullah akan menghantar pesanan kepada grup WhatsApp dianggotai pegawai yang berkenaan termasuk setiausaha sulit baginda, dan pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), menitahkan mereka menyiasat kesahihan kes, menghulurkan bantuan dan baginda mahu laporan diberi kepada baginda.

“Tak kira orang negeri mana, tuanku apabila bertemu rakyat tidak begitu mementingkan protokol. Tidak kira orang negeri mana, tidak kira apa masalah yang dihadapi baik masalah bil air, bil api, anak nak masuk belajar minta bantuan kewangan, minta bantuan wang untuk biaya kesihatan atau apa-apa sahaja. Bagi tuanku, yang baginda tahu bila ada rakyat datang berjumpa adukan masalah, hari itu juga baginda nak selesaikan,” jelas Abdul Rahman.

Selain turun padang, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut aktif di media sosial.
Selain turun padang, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut aktif di media sosial.

HARAPAN RAKYAT

Penjawat awam berketurunan orang asli, Mirsha Rijin, 37, dari Gombak, Selangor berkata, Seri Paduka memang sudah terkenal dengan sikap mesra rakyat, mudah didekati serta prihatin dengan masalah rakyat.

Mirsha turut tertarik dengan beberapa perubahan yang dilakukan di istana seperti menggunakan konsep bufet bagi Majlis Santapan BBQ sempena memuliakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-254 pada 2 Julai lalu.

"Harapan saya kepada Seri Paduka agar baginda dapat meningkatkan fungsi raja berbanding yang sedia ada, supaya dapat memberi nasihat dan pandangan berkaitan isu yang melanda negara. Kita tengok Sultan Selangor dan Sultan Perak banyak memberi komen kepada perkara yang tidak betul. Inilah yang kita perlukan supaya rakyat tahu sistem raja berfungsi dengan baik di negara ini," kata beliau.

Jurutera berasal dari Shah Alam, Selangor Teng Han Nyan, 38, mempunyai pendapat sama.

"Sultan Abdullah mempunyai penampilan yang mudah didekati rakyat. Permaisuri Agong juga seorang yang aktif dalam media sosial dan selalu turun padang bertemu rakyat jadi gandingan ini adalah gandingan mantap yang boleh mengubah persepsi rakyat terhadap keluarga kerabat diraja," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Asal makan durian, kita geng tuanku...'

Tambah Teng, walaupun kesibukan Seri Paduka pasti bertambah pada masa akan datang, namun beliau berharap agar Seri Paduka berdua boleh terus mendekati rakyat seperti pada masa ini dan merapatkan lagi jurang antara kaum di Malaysia.

Sementara itu, Arvind Ragavan, seorang profesional maklumat perniagaan dari Seremban, Negeri Sembilan berkata daripada apa yang beliau dengar dan baca, Al-Sultan Abdullah saling tidak ubah seperti Almarhum Paduka Ayahanda baginda Sultan Ahmad Shah yang penyayang dan berjiwa rakyat.

"Ingat isu Cameron Highlands dan kejadian banjir. Keluarga kerabat diraja begitu prihatin dengan kebajikan rakyat. Ini amat penting. Baginda sebagai Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong diharap dapat menjadikan pemerintahan beraja di negara ini sebagai petunjuk untuk penyatuan rakyat berbilang kaum, hidup dalam sebuah negara, seperti yang dilakukan oleh Paduka Ayahanda baginda, “ katanya. - Bernama