Belas kasihan kepada anak tanpa negara

No Image Caption
A
A
A

AKHBAR ini semalam melaporkan kebimbangan Duta Besar Indonesia, Rusdi Kirana bahawa fenomena ‘Rohingya kedua’ akan berlaku di Malaysia berikutan puluhan ribu anak-anak pekerja dari Indonesia dilahirkan tanpa memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Kesilapan ibu bapa tidak mendaftarkan perkahwinan menjadi faktor yang menyebabkan anak dilahirkan tidak mempunyai dokumen yang sah.

Sangat tidak adil bagi golongan tersebut untuk dinafikan hak untuk menjadi warganegara Indonesia hanya kerana kesilapan ibu bapa individu berkenaan. Lebih menyedihkan anak-anak itu tidak boleh mendapatkan pendidikan formal di sekolah.

Mereka tidak boleh membaca dan tidak mengenal huruf. Oleh kerana hak untuk bersekolah dinafikan, mereka digunakan untuk membantu ibu bapa mencari pendapatan. Seawal usia 5-10 tahun mereka sudah terpaksa membanting tulang melakukan pekerjaaan saat anak-anak lain sedang menyiapkan kerja sekolah di rumah.

Tanpa pendidikan, mereka dikekang membina masa hadapan. Mereka tiada perlindungan undang-undang yang menyebabkan mereka terdedah kepada gangguan, diskriminasi dan menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab.

Ibarat ‘terkandas’ di tempat lahir daripada keluarga pendatang tanpa izin, ada yang silap memilih jalan yang salah dengan terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat dan berunsur jenayah. Menurut statistik daripada Kementerian Dalam Negeri pada tahun 2016, terdapat 300,000 kanak-kanak tanpa kerakyatan di Malaysia yang berumur bawah 18 tahun.

Justeru, cadangan Rusdi Kirana untuk membina lebih banyak Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) khususnya dalam menyediakan peluang pendidikan kepada anak-anak pekerja warga Indonesia di negara ini amatlah dialu-alukan. CLC diwujudkan di Sabah dan Sarawak sejak 2006 dan kini terdapat kira-kira 200 pusat itu di kedua-dua negeri berkenaan.

Program CLC ini bukan hanya memberi peluang kepada pelajar-pelajarnya malah mampu membantu kerajaan Malaysia bagi mendapatkan pekerja-pekerja mahir selepas mereka menamatkan pembelajaran mereka.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama, kerajaan turut menimbangkan cadangan agar anak tanpa warganegara ini layak mendapat pendidikan lebih baik apabila proses kemasukan mereka ke sekolah kerajaan akan dipermudahkan bermula Januari depan.