Rakan hilang rupa-rupanya lemas

Mangsa ditemukan lemas dalam kolam berkedalaman hampir lima meter oleh PPDA.
Mangsa ditemukan lemas dalam kolam berkedalaman hampir lima meter oleh PPDA.
A
A
A

TAIPING - Seorang lelaki yang hilang ketika memancing, semalam ditemukan lemas kira-kira tiga meter dari kawasan tebing Air Terjun Pecah Batu, Trong, tadi.

Muhammad Taufik Mahamad, 29, ditemui dalam kolam air terjun itu sekitar jam 1.45 petang oleh Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) yang meneruskan operasi mencari dan menyelamat pada jam 9 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, kehilangan mangsa disedari rakannya sekitar jam 4 petang, semalam ketika mandi di kawasan tersebut.

Menurutnya, ketika kejadian, rakannya naik ke bahagian atas untuk memancing dan sebaik kembali didapati mangsa telah tiada di tempat mandi berkenaan, hanya pakaian dan beg mangsa yang ditinggalkan.

Artikel Berkaitan:

"Rakannya bersama beberapa pengunjung di situ cuba mencari di kawasan sekitar, namun tidak menemuinya sehinggalah jam 7.30 malam sebelum laporan kehilangan mangsa dibuat," katanya.

Beliau berkata, operasi mencari dimulakan pada jam 9.55 malam bersama enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bomba Taiping serta empat anggota Angkatan Pertahanan Awam.

Bagaimanapun katanya, usaha mencari ditangguhkan berikutan arus sungai deras, kawasan licin dan berlumut serta keadaan sekeliling yang gelap.

"Pasukan penyelamat yang meneruskan operasi mencari pagi tadi berjaya menemui mangsa," katanya.