Mansuh jawatan Pengerusi MFL perlu persetujuan kongres

Datuk Mohd Yusoff Mahadi
Datuk Mohd Yusoff Mahadi
A
A
A

CADANGAN memansuhkan jawatan Pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan dibincangkan pada mesyuarat Lembaga Pengarah badan itu dalam masa terdekat.

Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam perlu membentang cadangan penstrukturan semula itu, sebelum perkara itu dibawa ke Kongres MFL yang dijangka diadakan pada September ini.

“Pada masa ini, kita masih belum tahu dengan teliti mengenai penstrukturan semula ini. Saya rasa dalam minggu hadapan kita akan ada mesyuarat Lembaga Pengarah, masa itu Kevin perlu membentangkan bentuk perubahan yang dijangka dan bagaimana penstrukturan semula itu akan berjalan.

“Jika mendapat lampu hijau daripada Lembaga Pengarah, kemudian perkara ini akan di bawa ke Kongres MFL untuk mendapatkan persetujuan daripada (24) pemegang taruh, iaitu kesemua pasukan yang bertanding,” katanya.

Semalam, Kevin dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa pentadbir Liga Malaysia itu tidak menolak kemungkinan memansuhkan jawatan Pengerusi MFL sebagai satu daripada penstrukturan semula pentadbiran yang terkandung dalam Pelan Strategik 50 Tahun (Next50) MFL dari 2021-2070 yang dilancarkan 15 Julai lepas.

Kevin berkata, Pengerusi MFL Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersetuju dengan penstrukturan semula itu kerana baginda tidak mahu MFL menerima tempias dan kritikan kononnya baginda memiliki sentimen berat sebelah selaku pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), berkata beliau tidak dapat menjelaskan bagaimana pentadbiran MFL akan berfungsi selepas ini, sebelum mendengar penerangan daripada Kevin.

“Tidak dapat jawab kerana tidak tahu apa bentuk struktur tanpa Pengerusi (MFL) ini, kerana kita belum ada maklumat daripada CEO (Ketua Pegawai Eksekutif MFL), jadi dia mesti bentangkan dulu... mungkin ia lebih baik ataupun mungkin kita kena ada juga (Pengerusi),” katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: