Jangan guna pintu belakang pujuk Muhyiddin: Ikatan

Shahir
Shahir
A
A
A

HULU SELANGOR - Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) mempersoalkan tindakan enam pemimpin DAP bertemu Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan isu kewarganegaraan secara tertutup.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, pemimpin DAP itu terdiri daripada menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen yang tidak mempunyai kaitan dengan isu berkenaan.

Menurutnya, Pemuda Ikatan mahu pemimpin terbabit menjelaskan apakah motif perjumpaan mereka.

"Adakah DAP memulakan agenda pintu belakang untuk memujuk Menteri Dalam Negeri memberikan kewarganegaraan kepada bangsa lain dari luar?

"Umum mengetahui bahawa menteri ini mempunyai kuasa meluluskan kewarganegaraan ke atas kes istimewa.

"Pimpinan DAP harus berterus-terang siapakah golongan istimewa yang mereka perjuangkan?," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shahir berkata, pihaknya menggesa pemimpin terbabit bersikap telus dengan menyuarakan permasalahan tersebut di Dewan Rakyat tanpa menggunakan pintu belakang bagi memenuhi agenda tersembunyi.

Katanya, Pemuda Ikatan menyokong pandangan dan desakan Pemuda UMNO demi menjaga kedaulatan negara serta memelihara keharmonian antara kaum.

Artikel Berkaitan:

"Seperti dilaporkan media, enam pemimpin DAP terlibat dalam pertemuan itu adalah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Hanna Yeoh serta Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

"Turut sama, Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham dan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng," katanya.