Panggilan percuma ke Befrienders mulai 1 Ogos

Al-Ishsal Ishak - Foto Bernama
Al-Ishsal Ishak - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Panggilan ke talian Befrienders adalah percuma bermula 1 Ogos ini.

Ia hasil inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang berganding bahu dengan lapan syarikat telekomunikasi dalam menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab masyarakat dalam menangani isu kesihatan dan kestabilan emosi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Syarikat telekomunikasi yang terlibat ialah Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Berhad, Telekom Malaysia Berhad, TIME dotcom Berhad, U Mobile Sdn Bhd, Webe Digital Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd, menurut MCMC dalam satu kenyataan hari ini.

Befrienders, pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Pengerusi MCMC Al-Ishsal Ishak dalam kenyataan itu berkata gejala membunuh diri boleh dicegah dan dibanteras dengan adanya usaha kolektif daripad apelbagai pihak berkepentingan termasuk kerajaan dan pemain industri.

“Antara langkah utama yang perlu diambil adalah dengan menghapuskan stigma dalam kalangan masyarakat terhadap penyakit mental dan gejala bunuh diri melalui akses kepada talian Befrienders, yang kini percuma untuk mendapatkan khidmat nasihat, kaunseling dan bantuan emosi.

“Sementara kita maju bersama digitalisasi, satu usaha sama untuk memanfaatkan media sosial dan teknologi baharu dalam mengenal pasti mereka yang berisiko tinggi boleh diterokai,” katanya.

Menurut MCMC, pengumuman berkenaan tepat pada masanya dan selaras dengan saranan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo baru-baru ini yang menyeru bahawa tiada sesiapapun yang dikecualikan dalam peralihan negara ke arah era digital.

Artikel Berkaitan:

Pemanggil boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders. Semua perbualan adalah rahsia.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada sam@befrienders.org.my untuk bantuan. Butiran lanjut mengenai Befrienders di negeri-negeri lain boleh didapati di laman sesawang www.befrienders.org.my. - Bernama