1,913 penolong amil kariah dilantik LZS kesan asnaf

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Zakat Selangor (LZS) melantik seramai 1,913 penolong amil di 400 masjid sekitar Selangor bagi mencari dan mengesan golongan asnaf yang layak menerima zakat.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan Mat Yusop berkata penolong amil tersebut akan bertindak sebagai wakil LZS untuk menilai kelayakan golongan asnaf.

“Inisiatif ini diambil berikutan amil kariah lebih dekat dengan masyarakat setempat selain dapat melancarkan pengagihan zakat LZS kepada asnaf.

“Selain itu, usaha ini dilihat memudahkan urusan golongan asnaf yang tidak perlu ke pejabat zakat untuk memohon bantuan,” katanya kepada pemberita selepas program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Saipolyazan berkata tiga masjid turut dipilih sebagai projek perintis pada tahun ini untuk membantu LZS dalam urusan zakat.

“Melalui program ini, orang ramai tidak perlu lagi ke pusat zakat sebaliknya hanya pergi ke masjid dan melakukan urusan mereka...kita sasarkan untuk laksanakan projek ini di 10 masjid pada tahun hadapan,” katanya.

Katanya, setakat Jun ini sebanyak 59,628 keluarga fakir dan miskin serta mualaf melibatkan agihan RM364.9 juta telan disantuni oleh LZS.

“Setiap tahun jumlah asnaf akan bertambah dan kita berharap lebih ramai pihak sama ada individu atau syarikat tampil dan membayar zakat di Selangor,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, beliau bersama SJK berkunjung ke Pangsapuri Sri Baiduri, Ukay Perdana di sini bagi menyantuni golongan asnaf yang layak menerima zakat.

Bagi bapa kepada lima anak Ariffin Samsudin, 44, berkata kunjungan LZS ke rumahnya dapat membantu meringankan beban kewangan yang dihadapinya dalam menyara ahli keluarganya.

Beliau yang bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan bulanan sebanyak RM2,000 bersyukur dan berterima kasih dengan bantuan yang diberikan.

“Isteri hanya suri rumah dan menguruskan anak-anak di rumah, saya seorang sahaja yang menyara keluarga...terima kasih banyak kepada zakat Selangor dan pembayar zakat,” katanya.- Bernama