Banci percubaan di Pahang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perangkaan Pahang akan melaksanakan Banci Percubaan 2019 bermula 24 Julai hingga 7 Ogos 2019 di seluruh negeri.

Pengarah Jabatannya, Zainol Jamil berkata, objektif pelaksanaan Banci Percubaan 2019 adalah untuk menguji pemahaman orang awam berkenaan struktur soal selidik dan mod pembancian yang dijalankan.

Selain itu katanya, ia merupakan persediaan jabatan untuk melaksanakan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia yang keenam pada tahun 2020 nanti.

"Terdapat lebih 5,700 individu atau 1,430 isi rumah akan terlibat dalam menjayakan banci percubaan ini. Jabatan telah melalui proses modenisasi seiring perkembangan arus perdana berdasarkan pelbagai mekanisme seperti temuramah bersemuka dengan menggunakan borang soal selidik.

"Juga temuramah bersemuka dengan menggunakan telefon pintar dan responden mengisi sendiri borang soal selidik atau temuramah melalui telefon; dan e-Census iaitu responden mengisi sendiri borang soal selidik secara dalam talian.

"Maklumat-maklumat yang dikumpul oleh pegawai Jabatan Perangkaan adalah tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989) di mana maklumat yang diberikan adalah sulit dan hanya digunakan bagi tujuan perangkaan," katanya.

Sehubungan itu, Jabatan Perangkaan memohon kerjasama masyarakat untuk menjayakan pelaksanaan banci percubaan ini.

Maklumat lanjut mengenai Banci Percubaan 2019 boleh diperoleh dengan melayari portal Jabatan Perangkaan Malaysia di www.dosm.gov.my

Artikel Berkaitan: