Kenyataan Husam cuba tutup pergolakan PH

Noor Hariri Mohamed Noor
Noor Hariri Mohamed Noor
A
A
A

KOTA BHARU - Pemuda Umno Kelantan kesal dengan kenyataan Pengerusi PH Kelantan, Senator Datuk Husam Musa yang mengatakan bahawa kerajaan negeri bersifat ‘syok sendiri’ apabila mentakrifkan Kelantan sebagai negeri Islamik.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, pernyataan Husam ini tidak lebih daripada mengalih isu-isu perpecahan dalaman parti, kelemahan pentadbiran kerajaan Pusat dan masalah moral peribadi yang melanda pemimpin PH setiap hari yang gagal dijawab oleh mereka.

“Kelantan adalah satu negeri yang majoriti penganutnya beragama Islam dan mengamalkan sikap toleransi agama yang tinggi selaras dengan apa yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Banyak program-program bersifat Islamik dan institusi-institusi pondok di negeri ini dijalankan selaras dengan kehendak masyarakat di negeri ini yang amat mementingkan kepatuhan dalam beragama Islam serta hidup bermasyarakat,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Terdahulu, beliau diminta mengulas kenyataan Husam yang mendakwa kerajaan Kelantan bagaikan syok sendiri apabila memperlihatkan negeri ini sebagai sebuah negeri Islamik.

Hariri berkata, Husam sepatutnya membantu kerajaan Kelantan dari sudut peruntukan-peruntukan daripada kerajaan Pusat bagi memperbanyakkan dan mengimarahkan lagi program-program bersifat keagamaan masyarakat Islam di sini.

Beliau berkata, bekas exco kerajaan negeri itu sepatutnya tidak terikut-ikut dengan rentak menteri-menteri Kabinet dari Amanah dan DAP yang kerjanya senantiasa menyalahkan pentadbiran terdahulu.

“Mereka (menteri) sama sekali gagal membuktikan kecekapan mentadbir. Bak kata pepatah orang Melayu, ‘ayam berkokok berderai-derai, tetapi ekor bergelumang tahi’, amat memalukan

Artikel Berkaitan:

“Husam boleh jadi medium untuk bantu kerajaan jika benar negeri ini masih belum Islamik dan sebagainya, namun bukanlah bersikap mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah menyindir, memerli dan juga seperti orang yang putus harapan,” katanya.