Hamidin mahu media terus pantau prestasi FAM

Hamidin. - Foto FB Football Association of Malaysia (Official)
Hamidin. - Foto FB Football Association of Malaysia (Official)
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mahu media terus memainkan peranan sebagai pemantau prestasi badan induk itu melalui kritikan yang membina.

Pada pertemuan bersama editor dan penolong editor sukan media arus perdana, beliau juga mengambil kesempatan bertukar pandangan di samping menerima maklum balas mengenai agenda pembangunan bola sepak negara sejak mengambil alih jawatan itu pada Julai 2018.

“Bagi pihak FAM, saya mengucapkan terima kasih kepada editor sukan dan pengamal media yang memberi liputan meluas kepada semua kegiatan bola sepak tempatan dari pelbagai aspek.

“Walaupun FAM sentiasa dilingkari kontroversi dan menerima tekanan daripada masyarakat umum di alam maya, kritikan dan teguran yang membina daripada pengamal media penting dalam memastikan agenda FAM tidak terpesong dari landasan.

“Saya harap media terus menjalankan tugas sebagai pemerhati yang objektif tanpa menerbitkan sudut berita yang bersifat peribadi,” katanya.

Pada pertemuan santai yang diadakan di Petaling Jaya itu, Hamidin turut menyatakan penghargaan kepada media atas sokongan yang diberikan selama ini.

Dalam pada itu, seramai 18 editor dan penolong editor sukan dari media cetak dan elektronik mengambil kesempatan memberi pandangan mengenai Peta Hala Tuju FAM (F:30) dan DNA Bola Sepak Malaysia yang baru dilancarkan.

Turut hadir ahli jawatankuasa eksekutif FAM, Christopher Raj yang juga pengerusi jawatankuasa media dan perhubungan awam FAM serta Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.- Bernama

Artikel Berkaitan: