Wan Ji hairan Penjara Kajang buat laporan polis

Wan Ji
A
A

SHAH ALAM - Penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin mempersoalkan mengapa pihak Penjara Kajang membuat laporan polis mengatakan beliau membuat fitnah berhubung dirinya dipukul ketika dalam tahanan.

Sedangkan menurut Wan Ji, beliau sudah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis mahupun pihak penjara.

“Pada 16 Julai juga, timbalan penguasa penjara bertemu dengan saya di sebuah restoran di Kuala Lumpur. Beliau menghubungi saya untuk bertemu di lokasi yang saya senang untuk berjumpa.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kalau Wan Ji inginkan pembelaan, dia kena lapor polis'

“Kami berjumpa bermula jam 11 pagi hingga dua petang. Saya bagi maklumat apa yang beliau inginkan. Bila ada pihak penjara kata saya memfitnah, saya rasa pelik sebab saya sudah beri kerjasama penuh. Kenapa dia kata begitu saya tidak tahu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Polis memaklumkan membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan Wan Ji dipukul ketika dalam penjara, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, dua kertas siasatan itu berdasarkan laporan polis dibuat Wan Ji dan laporan polis yang dibuat pihak penjara yang mengatakan telah difitnah Wan Ji.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata, Wan Ji perlu membuat laporan polis jika memerlukan pembelaan berhubung dakwaan itu.

Wan Ji mendakwa dirinya dipukul individu bertopeng yang memakai pakaian warden ketika menjalani hukuman setahun penjara selepas Mahkamah Tinggi menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor tujuh tahun lalu.

Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap penceramah bebas berusia 37 tahun itu berkuatkuasa 12 Julai.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia