X

Kindly register in order to view this article
!

Maqis, JKDM rampas 140kg produk berasaskan daging babi di KLIA

Produk berasaskan daging babi yang berjaya dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
A
A

SEPANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah berjaya merampas produk makanan berasaskan daging babi.

Rampasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 Julai itu melibatkan daging babi seberat 120 kilogram (kg), sosej dan bebola daging babi seberat 20kg dari negara China.

Rampasan yang dibuat secara berasingan itu dibuat ke atas empat orang warganegara China ketika pemeriksaan bagasi dilakukan oleh tiga orang pegawai penguat kuasa di Laluan Antarabangsa KLIA.

Pengarah Maqis Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, larangan pengimportan daging babi dari negara China, Thailand, Vietnam, Laos, Poland dan Belgium telah dikeluarkan oleh kerajaan.

Jelasnya, ia bertujuan untuk mengelakkan kemasukan produk daging babi dari negara yang berpenyakit dan penyebaran wabak African Swine Fever (ASF).

Antara produk-produk yang berisiko dalam penularan virus ASF adalah seperti babi hidup, daging babi segar, daging babi sejuk beku serta produk daging babi proses.

"Perbuatan mengimport babi dan produk babi tanpa permit yang sah dari Maqis adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum dibawah seksyen 11(3) akta yang sama.

"Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau keduanya sekali," katanya menerusi satu kenyataan.

Sehubungan itu, pihak Maqis sentiasa komited dalam menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan tiada kemasukan daging atau produk khinzir yang tidak mematuhi prosedur pengimportan masuk ke dalam negara.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus