'Insiden kekecohan dalam masjid sengaja ditimbulkan'

Mohd Sofi (dua dari kanan) dan pendakwah bebas, Wan Ji (tiga dari kanan) ketika sidang media selepas beberapa jam insiden kekecohan berlaku malam tadi.
Mohd Sofi (dua dari kanan) dan pendakwah bebas, Wan Ji (tiga dari kanan) ketika sidang media selepas beberapa jam insiden kekecohan berlaku malam tadi.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Insiden kekecohan majlis ilmu yang dihadiri pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin di Masjid Ar Rahman, Kampung Parit Melana, Durian Tunggal di sini malam tadi dipercayai sengaja dicetuskan oleh pihak tertentu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Datuk Mohd Sofi Ab Wahab berkata, apa yang dikesalkan, kejadian itu bukan hanya melibatkan 'perang mulut' dengan mengeluarkan kata-kata kesat, bahkan turut berlaku kekasaran hingga tolak-menolak dalam masjid.

Beliau berkata, pihaknya terbuka bermuzakarah dan bukannya dengan mengadakan bantahan serta provokasi seumpama itu hinggakan memberi tanggapan negatif kepada orang lain.

"Pada mulanya, kita berbincang secara baik dan kita bertegas mahu meneruskan kerana program anjuran Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal mendapat kebenaran Jabatan Mufti dan pihak polis.

"Kita mengharapkan supaya rakyat mematuhi undang-undang dan jangan buat undang-undang sendiri, manakala pihak tidak berpuas hati sepatutnya hormat undang-undang dan tidak membuat kekacauan," katanya.

Mohd Sofi yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam berkata, setakat ini pihaknya telah membuat tiga laporan polis berhubung kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

Sementara itu Mufti negeri, Datuk Abdul Halim Tawil ketika dihubungi mengakui menerima permohonan kebenaran penganjuran itu pada minggu lalu.

"Memang ada permohonan kebenaran sejak minggu lepas," katanya ringkas.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Aziz mengesahkan sehingga jam 3.30 petang, pihaknya menerima sebanyak enam laporan polis antaranya pesara, peniaga, pegawai penyelaras masjid dan pegawai khas wakil rakyat.

Malam tadi Sinar Harian melaporkan majlis ilmu yang disampaikan pendakwah bebas, Wan Ji di Masjid Ar Rahman Kampung Parit Melana Durian Tunggal bertukar kecoh.

Dalam kejadian jam 7.50 malam, Mohd Sofi Ab Wahab sedang berucap selepas menunaikan solat Maghrib dan memaklumkan penganjuran ceramah tersebut telah pun mendapat kebenaran polis sebelum terdapat pihak yang mencetuskan provokasi.

ARTIKEL BERKAITAN: Wan Ji dakwa kekecohan di masjid dilakukan oleh ahli Pas dan UMNO