Dihempap lelaki dewasa, anak Lan Solo nyaris cedera parah

- Foto Instagram Lan
- Foto Instagram Lan
A
A
A

ANAK lelaki penyanyi Lan Solo iaitu Muhammad Akid Qassyaff, 4 tahun, nyaris mengalami kecederaan parah setelah dihempap seorang lelaki dewasa ketika bermain luncur ais di sebuah pusat membeli belah, Sabtu lalu.

Menurut perkongsian yang di buat oleh isteri Lan, Nur Sheila Hassim, 34, Akid ketika itu bermain luncur ais buat kali pertama dan terjatuh kerana tidak dapat mengimbangi badan dengan baik.

Selepas itu, nasib tidak menyebelahinya apabila seorang lelaki warga asing tidak sempat mengelak lalu terjatuh dan menghempap belakang badannya.

"Lelaki mat salleh itu jatuh hempap atas belakang Akid dan dia tak boleh bangun langsung. Ketika itu bermacam-macam yang saya fikirkan sebab saya dan Lan berada di luar gelanggang luncur ais itu.

"Selepas lelaki tersebut menghempapnya, Akid tidak bergerak dan hanya menangis sekuat-kuatnya.

"Alhamdulillah pihak ice skating bertindak pantas dan lelaki tersebut juga nampak sangat risau dan takut kalau pinggang Akid patah.

"Dia mengaku jatuh atas badan Akid yang berat dia baru 16kg, manakala berat lelaki tersebut dalam 90kg lebih," jelasnya menerusi satu posting di Instagram.

Tambah Sheila, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak atas apa yang berlaku, tetapi berharap pihak permainan luncur ais dapat membahagikan tempat antara mereka yang baru pertama kali bermain dengan mereka yang sudah mahir.

Artikel Berkaitan:

"Ini cuma sekadar cadangan, kalau di masa depan pihak ice skating boleh asingkan tempat untuk yang amatur dan yang dah mahir (sebab yang mahir ini suka tunjuk aksi yang mereka boleh meluncur laju) tak sempat berhenti.

"Akibatnya terlanggar orang lain. Sekadar cadangan sahaja. Apa pun terima kasih pada semua yang membantu tadi," katanya yang berkongsi wajah anaknya yang cedera.

Selain Akid, hasil perkahwinannya dengan Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 34, pasangan ini turut memiliki tiga puteri iaitu Nur Amna Qaleesya, 7, Nur Amna Qeesyara, 7 dan Nur Amna Quxandra, setahun.